CHENNAI, India, 7 Februari 2026 /PRNewswire/ — Institusi pengajian tinggi bertaraf No. 1 di India, Institut Teknologi India Madras (IIT Madras), telah menubuhkan sebuah entiti baharu, Yayasan Penyelidikan Global IIT Madras (IITM Global), dengan mandat untuk mengembangkan ekosistem penyelidikan dan inovasi IIT Madras ke pelbagai geografi.
IITM Global sedang memperkukuh penglibatannya di Asia Tenggara melalui kerjasama strategik di Malaysia. IITM Global telah dilancarkan secara rasmi oleh Dr. S. Jaishankar, Menteri Hal Ehwal Luar, Kerajaan India.
Inisiatif ini menyokong visi IIT Madras untuk menjadi universiti multinasional pertama di dunia dengan memposisikannya sebagai hab berangkaian global bagi pendidikan, penyelidikan, inovasi dan keusahawanan.
Berucap pada majlis pelancaran IITM Global di Kampus IIT Madras pada 2 Januari 2026, Dr. S. Jaishankar berkata, "Penubuhan Kampus IIT Madras di Tanzania merupakan contoh cara dasar luar India telah memanfaatkan keupayaan sebuah institusi tempatan untuk memberi impak yang besar. Dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, bayangkan berapa ramai pelajar Afrika yang akan melalui institusi ini. Kita ialah kuasa sumber manusia dan kita perlu memanfaatkan kekuatan tersebut. Kini, kita mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian. Apabila institusi kecemerlangan negara mula melangkah ke luar negara, usaha dasar luar memperoleh tambahan kekuatan yang besar dalam arsenalnya. Ini sesuatu yang sangat transformatif."
Sebagai sebahagian daripada peluasan berfokuskan Malaysia, IIT Madras telah menjalin kerjasama dengan ASEM (Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia) bagi memperkukuh kerjasama akademik dan penglibatan berteraskan inovasi di rantau ini. Perkongsian tersebut akan memberi tumpuan kepada penyampaian program pensijilan bersama, memudah cara pertukaran pelajar dan mobiliti pensyarah, serta menyokong inisiatif pendidikan dan peningkatan kemahiran yang disesuaikan dengan keperluan Malaysia dan serantau, dengan fokus khusus kepada semikonduktor dan reka bentuk semikonduktor.
Selain itu, kerjasama ini turut merangkumi perancangan penubuhan Pusat Penyelidikan Luar Negara di Malaysia bagi menyokong syarikat pemula teknologi dalam berpotensi tinggi yang ingin berkembang ke pasaran Asia Tenggara.
IITM Global juga telah memformalkan rangka kerja kerjasama dengan Aisling Group. Perkongsian ini direka untuk membina sinergi selaras dengan misi IITM Global bagi mengantarabangsakan inovasi, teknologi dan syarikat pemula India.
Bidang kerjasama merangkumi sokongan penskalaan syarikat pemula, program peningkatan kemahiran dan pensijilan jangka pendek, inisiatif penyelidikan kolaboratif, serta pemindahan harta intelek dan teknologi, sekali gus membolehkan integrasi yang lebih rapat antara ekosistem inovasi India dan Malaysia.
IITM Global dibangunkan sebagai platform strategik, berskala dan berkonsepkan "plug-and-play" yang membolehkan penyelidik, pelajar, syarikat pemula dan rakan industri mengakses pasaran global, modal serta peluang penyelidikan kolaboratif.
Diiktiraf secara meluas sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf teratas di India, IIT Madras menduduki kedudukan No. 1 Keseluruhan dan No. 1 Institut Kejuruteraan dalam Kerangka Penarafan Institusi Kebangsaan (NIRF) India, berada di kedudukan #180 dalam Kedudukan Universiti Dunia QS dan #56 dalam Kedudukan Universiti Asia QS. Institusi ini membawa ekosistem penyelidikan yang kukuh ke dalam perkongsian globalnya, merangkumi 18 jabatan akademik, 15 Pusat Kecemerlangan, 23 pusat penyelidikan dan hampir 100 makmal canggih, disokong oleh lebih 650 ahli fakulti serta lebih 10,000 pelajar.
Foto: https://mma.prnewswire.com/media/2888669/IIT_MADRAS_Book_Release.jpg
Logo: https://mma.prnewswire.com/media/1436503/IIT_Madras_Logo.jpg
https://mma.prnewswire.com/media/1436503/IIT_Madras_Logo.jpg
Sumber artikel: http://www.prnasia.com/asia-story/archive/4882483_MS82483_6











