85 peratus kes tibi babitkan rakyat tempatan

85 peratus kes tibi babitkan rakyat tempatan

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 85 peratus daripada kes tuberkulosis (tibi) yang dilaporkan di negara ini membabitkan rakyat tempatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hanya 15 peratus kes penyakit tersebut melibatkan warga asing.

Katanya, persepsi yang mengaitkan penularan tibi dengan kemasukan warga asing adalah tidak tepat berdasarkan data Kementerian Kesihatan menunjukkan kes dalam kalangan warga tempatan lebih tinggi ketika ini.

“Ini bermakna risiko penularan dalam komuniti kita adalah nyata dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, tibi bukanlah fenomena baharu dalam landskap kesihatan awam, sebaliknya sudah lama wujud dan kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian serius semua pihak.

Katanya, tibi juga bukan sekadar isu klinikal tetapi adalah penyakit kemiskinan yang berkait rapat dengan faktor sosioekonomi seperti kesesakan penempatan dan kekurangan zat makanan.

“Kuman Mycobacterium Tuberculosis ini sangat degil, namun berita baiknya, ia boleh dicegah, boleh dirawat dan boleh sembuh sepenuhnya jika dikesan awal serta pesakit patuh kepada rejimen rawatan antibiotik selama sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya.

Dzulkefly menyeru masyarakat supaya cakna terhadap gejala seperti batuk melebihi dua minggu, demam atau berpeluh waktu malam dan susut berat badan dan segera mendapatkan pemeriksaan serta rawatan di klinik.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memulaukan pesakit, sambil menegaskan bahawa sokongan emosi daripada keluarga dan komuniti adalah kunci utama untuk pesakit melengkapkan rawatan.

Katanya, sebagai langkah pencegahan, ibu bapa turut diseru memastikan anak-anak menerima imunisasi Bacillus Calmette–Guerin (BCG), di samping mengamalkan gaya hidup sihat dan memastikan pengudaraan rumah yang baik.

“KKM komited memperkasakan strategi pengesanan aktif dan bekerjasama dengan pelbagai agensi melalui pendekatan whole-of-government bagi menamatkan endemik tibi di Malaysia. Sama-sama kita lindungi keluarga dan komuniti kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN