PETALING JAYA: Aplikasi JustGO Malaysia merekodkan hampir 200,000 muat turun selepas pelancaran rasmi sistem pembayaran tol terbuka berasaskan pengecaman nombor plat automatik (ANPR) pertama negara.
JustGO Malaysia berkata, platform berkenaan dibangunkan bagi menyokong pengoperasian yang lebih meluas sekaligus membuka peluang kepada pengendali lebuh raya lain menyertainya.
“Menerusi sistem berkenaan, pengguna diberi kebebasan memilih lorong tanpa perlu menyesuaikan kaedah pembayaran ketika memasuki atau keluar dari plaza tol.
“Nombor plat kenderaan akan diimbas secara automatik ketika melalui lorong tol dan caj akan dikenakan terus kepada pengguna mengikut kaedah yang telah didaftarkan melalui aplikasi mudah alih JustGO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah JustGo Malaysia, pengguna hanya perlu memuat turun serta mendaftar melalui aplikasi mudah alih JustGO tanpa memerlukan pemasangan peranti tambahan atau sebarang kos permulaan.
“Pelaksanaan sistem tersebut juga dilihat sebagai langkah penting ke arah pendigitalan operasi tol serta menyokong peralihan berperingkat kepada sistem tanpa palang.
“Kaunter pengaktifan JustGO telah disediakan di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan
Kedah, termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun dan Hentian Sebelah Juru, bagi membantu pengguna membuat pendaftaran serta mendapatkan maklumat lanjut.
“Serta ramai 300 pengguna dengan jumlah transaksi JustGO tertinggi sepanjang tempoh
pengaktifan akan menerima baucar petrol bernilai RM30.
“Pelancaran rasmi sistem ANPR pada 12 Februari lalu menandakan pengenalan rasmi sistem berkenaan di peringkat institusi dan lebuh raya,” katanya.
Menurutnya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diiktiraf sebagai pengendali lebuh raya pertama melaksanakan sistem tersebut menerusi projek rintis di jajaran Hutan Kampung hingga Sungai Dua. – UTUSAN








