Pendekatan baharu sekatan jalan raya

Pendekatan baharu sekatan jalan raya

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) dilihat mampu meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan jalan raya tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada sekatan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sekatan jalan raya mengakibatkan kesesakan kenderaan dan masa menunggu yang panjang, terutamanya ketika musim perayaan.

“Jadi sekarang saya nak katakan bahawa paradigma atau pendekatan baharu kita mesti ke arah pengintegrasian data dan penggunaan teknologi ANPR. Ini kerana operator lebuh raya pun sudah memulakan proses ANPR mereka umpamanya PLUS (Lebuh Raya Utara-Selatan) yang akan dimulakan tidak lama lagi, mereka pun ada bertemu dan ‘brief’ kita.

“Jadi apabila mereka sudah ada sistem, kita tak perlu buat satu sistem berlainan, kita integrasikan sistem itu. Kalau sistem ANPR ini diintegrasikan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, kita bukan sahaja boleh guna untuk kutipan tol tanpa henti, tetapi juga untuk penguatkuasaan.

“Secara automatik kita boleh tahu sama ada kenderaan itu mempunyai cukai jalan yang sah, insurans, status pemeriksaan atau sama ada ia kenderaan curi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) Bulan Januari 2026 di sini hari ini.

Anthony Loke berkata, integrasi data antara agensi kerajaan akan membolehkan semakan dilakukan hanya melalui kamera tanpa perlu menghentikan kenderaan terbabit di jalan raya.

Dalam pada itu, Anthony Loke memaklumkan PLUS juga telah mengadakan perbincangan bersama JPJ berhubung pelaksanaan ANPR.

“Apabila PLUS mulakan, saya yakin lebuh raya lain akan ikut. Walaupun hanya PLUS sahaja, ia sudah cukup besar kerana melibatkan lebuh raya dengan berjuta kenderaan setiap hari,” katanya.

Pada 7 Ogos tahun lalu, media melaporkan sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi ANPR yang disokong platform digital bersepadu akan dilaksanakan secara berperingkat di Lebuh Raya PLUS bermula Oktober ini, melibatkan laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua di Pulau Pinang sebagai projek rintis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×