PETALING JAYA: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menutup dan merampas reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) menimbulkan persoalan terhadap usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam menyampaikan mesej Islam.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan DBKL menghantar sejumlah pegawai untuk menutup serta merampas bahan dakwah tanpa notis atau saman menimbulkan persoalan, seolah-olah aktiviti dakwah itu dianggap sebagai satu kesalahan.
Lebih menghairankan, beliau berkata, penutupan tersebut juga dilakukan tanpa pengetahuan MRM dan mereka juga tidak dimaklumkan mengenai sebarang keperluan pematuhan atau syarat tertentu bagi membolehkan aktiviti Street Dakwah dijalankan.
“Maka timbul persoalan sama ada tindakan ini benar-benar bersandarkan pematuhan undang-undang atau sebaliknya dilihat sebagai respons terhadap Saudara Firdaus Wong yang lantang memperjuangkan isu berkaitan hak dan kepentingan Islam sejak kebelakangan ini.
“Perkara ini wajar dijelaskan secara tuntas oleh DBKL bagi mengelakkan sebarang persepsi yang tidak baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Firdaus Wong mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang merampas bahan Street Dakwah MRM pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Firdaus berkata, tiada sebarang notis saman atau senarai inventori dikeluarkan setakat ini.
Tuan Ibrahim berkata, MRM telah menjalankan aktiviti itu sejak lebih 14 tahun dan tidak pernah menjejaskan ketenteraman awam.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang begitu pantas terhadap reruai dakwah yang aman itu dilihat berbeza dengan tahap reaksi terhadap pelbagai gejala sosial yang lebih ketara di Kuala Lumpur.
“Kegiatan tidak bermoral yang menyakitkan mata masyarakat seolah-olah dibiarkan tanpa tindakan setegas ini.
“Justeru, apa yang dikesalkan ialah keutamaan penguatkuasaan DBKL seharusnya selari dengan kepentingan awam serta nilai kesejahteraan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










