PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan tindakan penguatkuasaan terhadap reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Jalan Bukit Bintang semalam dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
Menurut DBKL, hasil pemantauan di lapangan mendapati berlaku pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di atas laluan pejalan kaki yang merupakan kawasan awam dan perlu sentiasa bebas daripada sebarang halangan.
Katanya, petugas DBKL turut menunggu selama 30 minit di lokasi berkenaan namun tiada wakil MRM tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan.
“Sehubungan itu, DBKL mengambil tindakan menurunkan khemah dan memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras dengan peruntukan undang-undang serta peraturan kecil yang berkuat kuasa.
“Kawasan tersebut perlu dikekalkan dalam keadaan selamat dan lancar bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut DBKL, segala tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan keselamatan awam, ketenteraman bandar serta kelancaran penggunaan ruang awam terus terpelihara demi kepentingan bersama warga kota.
“DBKL tidak pernah menghalang aktiviti dakwah di ruang awam. Namun, semua aktiviti hendaklah dilaksanakan mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, DBKL turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan MRM bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang serta memastikan situasi seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan. – UTUSAN










