KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan peruntukan lebih RM1,196 juta menerusi dana wakaf tunai untuk membangunkan 16 projek berimpak tinggi untuk manfaat rakyat di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia melibatkan sumbangan secara langsung dan berterusan dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan serta kemudahan asas.
“Pelaksanaan projek-projek ini membuktikan bahawa sumbangan wakaf tunai yang diamanahkan oleh masyarakat bukan sekadar dikumpulkan, bahkan diterjemahkan kepada manfaat yang nyata dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan dan kemudahan asas.
“Ia sekali gus memberikan manfaat secara langsung dan berterusan kepada masyarakat di seluruh negeri Kelantan,” katanya semasa berucapa pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf MAIK di sini semalam.
Tengku Temenggong Kelantan itu memberitahu, daripada jumlah itu Maahad Tahfiz al-Quran (MAIK), Pendek, di sini menerima sumbangan paling tinggi sebanyak RM217,254.92 untuk kerja-kerja baik pulih.
Katanya, Hospital Gua Musang menjadi penerima kedua tertinggi sebanyak RM199,000 untuk kemudahan mesin ultrasound kepada masyarakat yang mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berkenaan.
“Sebanyak RM170,000 diperuntukkan bagi pembinaan dan pemasangan telaga tiub di Surau Kampung Manok, Pos Sungai Rual, Jeli, manakala RM117,428 digunakan bagi penyediaan mesin katarak di Hospital Tanah Merah.
“Selain itu, MAIK turut salurkan bantuan untuk kerja-kerja baik pulih bekalan air Tandak di jajahan Jeli melibatkan perbelanjaan sebanyak RM92,228.50,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tengku Mohamad Rizam berkata, kutipan wakaf tunai MAIK turut menunjukkan peningkatan ketara hasil pelbagai usaha memperkemas pengurusan wakaf.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga 22 Ogos tahun ini, kutipan wakaf tunai MAIK mencecah RM1,374,044.07, berbanding RM992,493.69 bagi tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan sebanyak RM381,550.38 atau 38.44 peratus ini menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan dalam prestasi kutipan wakaf tunai MAIK,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan itu hasil penambahbaikan struktur pentadbiran serta pengukuhan pengurusan wakaf secara lebih sistematik dan berfokus.

Tengku Mohamad Rizam turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan bertarikh 31 Disember 2025 yang membawa kepada pelaksanaan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bilangan 7 Tahun 2026.
Katanya, penambahbaikan prosedur itu memudahkan urusan perwakafan tanah kepada MAIK menerusi pendekatan pusat sehenti, sekali gus mengurangkan birokrasi.
“Inisiatif proaktif ini diyakini mampu memangkin penyertaan yang lebih luas dalam kalangan masyarakat untuk melaksanakan ibadah wakaf, seterusnya menyumbang kepada usaha memperkasakan sosioekonomi ummah di negeri Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkong, Aniza Ismail meluahkan rasa syukur menjadi salah satu penerima sumbangan wakaf MAIK menerusi pemberian 167 keping penutup longkang.
Katanya, sumbangan itu memberi kelegaan kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkong, khususnya dalam aspek keselamatan selepas terdapat kejadian murid dan guru terjatuh berikutan kerja-kerja menaik taraf jalan menyebabkan struktur longkang menjadi lebih dalam.
“Saya sangat berbesar hati berterima kasih kepada pewakaf kerana sumbangan ini sangat membantu meningkatkan tahap keselamatan murid. Proses permohonan dan kelulusan sangat cepat,” ujarnya.
Aniza turut menyeru lebih ramai masyarakat tampil menyumbang melalui wakaf kerana manfaatnya dapat disalurkan kepada golongan dan institusi yang memerlukan.
Katanya, usaha mendapatkan dana secara bersendirian bukan sesuatu yang mudah, justeru sistem wakaf memberi ruang kepada masyarakat untuk sama-sama membantu komuniti.
“Kalau kita hendak minta sendiri daripada orang memang payah, tetapi apabila ada orang yang bersedia untuk berwakaf, ia sangat membantu.
“Ramai orang boleh dibantu. Sekolah dengan keperluan sekolah, hospital dengan keperluan hospital. Saya sangat berterima kasih kepada pewakaf kerana kalau tidak, kita hendak cari dana sendiri memang susah,” katanya. – UTUSAN











