LKiZy mudahkan pelajar guna alatan lukisan

LKiZy mudahkan pelajar guna alatan lukisan

SAKINAH Muhammad Hanip (kiri sekali) bersama kumpulan innovator mereka cipta produk LKiZy bagi kemudahan pelajar membawa alatan lukisan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesukaran pelajar dalam membawa peralatan bagi subjek Lukisan Kejuruteraan mendorong seorang guru mencipta papan lukisan yang diinovasikan di bawah nama produk LKiZy.

Inovator bimbingan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) itu, Sakinah Muhammad Hanip berkata, papan lukisan LKİZY menyediakan ruangan simpanan untuk alat lukisan berkaitan seperti pembaris T, set sesiku, pensil, pemadam, jangka lukis dan flexible curve.

Menurutnya, papan lukisan boleh dilipat itu akan menjadi saiz normal apabila dibuka untuk meletakkan kertas bersaiz A3 dan murid boleh melukis di atasnya seperti biasa.

“Inovasi ini dihasilkan untuk mengatasi isu yang dihadapi murid ketika menggunakan peralatan konvensional iaitu set papan lukisan berat, sukar dibawa ketika menaiki motosikal dan ada antara murid perlu membawa dua buah beg.

“Papan Lukisan LkiZy merupakan papan lukisan yang bersaiz A4 apabila dilipat dua dan menjadi saiz A3 apabila dibuka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sakinah, 41, berkata, beliau membangunkan produk ini secara berkumpulan bersama Radin Khalid R. Husin, Nor Affendi Yusoff, Mohd. Yazid Abu Hassan Asuri dan Intan Safina Hasan sejak 2019 dengan kos berjumlah RM100,000.

Lebih mengujakan, pihaknya mendapat bantuan dana menerusi Program Malaysia Inovasi Sosial Akar Umbi (MyIS Akar Umbi/MaGRIs) sebanyak RM100,000 pada tahun 2023 berdasarkan potensi memberangsangkan produk inovasi tersebut.

Mengulas lanjut, Sakinah berkata, idea mereka cipta produk LKiZy tercetus ketika beliau mula mengajar subjek Lukisan Kejuruteraan sejak 17 tahun lalu pada 2008.

Katanya, beliau melihat murid menggunakan papan lukisan konvensional ketika melukis agak tidak praktikal untuk menyiapkan kerja-kerja lukisan dengan baik.

“Maka saya mendapat idea untuk mencipta dan membangunkan produk LKiZy ini yang mengandungi papan lukisan dan pembaris T yang boleh dilipat dua serta mampu menyimpan serta memelihara peralatan lukisan dengan baik.

“Produk ini dihadap dapat membantu guru dan pelajar dalam bidang ini dan digunakan sebagai alat bantuan mengajar yang diinovasikan sebagai satu penyelesaian sosial inovasi kepada komuniti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN