YIM analisa hasil inovasi untuk direplikasikan tangani isu utama di beberapa kawasan

YIM analisa hasil inovasi untuk direplikasikan tangani isu utama di beberapa kawasan

Sharmila (kanan) bersama-sama Fadillah serta tetamu kehormat lain sempena Program Jejak Inovasi Sosial 2015 Zon Sarawak di perkarangan Surau Al Amin, Kampung Gita Baru di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETRA JAYA: Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sedang menganalisa hasil-hasil inovasi atau teknologi yang berpotensi untuk direplikasikan bagi menangani isu-isu utama yang dikenal pasti menerusi sesi libat urus Jejak Inovasi Sosial bersama wakil komuniti di tujuh lokasi utama seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata lokasi-lokasi terbabit ialah di Kampung Sanglang, Kedah, diikuti oleh Kampung Bahagia, Kuala
Krai, Kelantan; Kampung Pulau Indah, Klang, Selangor; Jeti Nelayan Sungai Lereh, Melaka; Pulau Kambing, Kuala Terengganu; Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah Kalabakan, Tawau, Sabah.

Menjelas lanjut, beliau berkata dalam sepanjang sesi libat urus itu, beberapa isu utama telah dikenal pasti mengikut keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh komuniti setempat di setiap kawasan, antaranya bekalan air bersih, kekurangan peluang menjana pendapatan, keadaan jalan yang gelap, jeti yang curam serta pencemaran sungai dan bau.

Selain itu kos bahan api meningkat untuk pengoperasian bot, peningkatan kos pengecasan e-bike dan e-scooter, masalah jalan raya seperti jalan berlubang, lumba haram dan kemalangan jalan raya yang mengancam keselamatan pengguna jalan, pengurusan sampah yang tidak efisien, keperluan kepakaran teknologi
yang berkaitan fertigasi serta banyak lagi.

“Hasil analisis ini akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pakar Bidang Khusus bagi penilaian dan kelulusan, seterusnya menentukan inovasi atau teknologi yang berpotensi untuk direplikasi di komuniti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Jejak Inovasi Sosial 2015 Zon Sarawak yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof di perkarangan Surau Al Amin, Kampung Gita Baru di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sharmila berkata pihaknya turut menjalan program Penjejakan Produk di bawah inisiatif MyIS Akar Umbi, yang telah dimulakan di Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Utara dan Zon Sabah meliputi kawasan Klang, Melaka, Terengganu, Kedah dan Kalabakan.

Katanya pelaksanaan program itu juga akan diperluaskan ke Zon Sarawak, bermula di kawasan Petra Jaya.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai hasil inovasi yang membanggakan telah dipersembahkan oleh para peserta Cabaran Inovatif Belia (YIC), iaitu sebuah
pertandingan yang mengetengahkan projek-projek tahun akhir dari pelajar peringkat Diploma, Sarjana Muda dan Sarjana.

Menurutnya, pertandingan itu memberi tumpuan kepada projek yang berpotensi untuk dikembangkan serta mampu memberi impak positif kepada masyarakat, terutama dalam aspek inovasi dan penyelesaian masalah.

“YIC membuka ruang kepada para peserta untuk memperlihatkan kreativiti mereka dalam menghasilkan penyelesaian kepada pelbagai cabaran masyarakat, sama ada dalam bentuk teknologi, sosial mahupun kelestarian,” katanya.

Di samping itu, Sharmila berkata pihaknya turut menjalankan program Innovation Catalyst (ICATs) yang berperanan untuk mendapatkan penyertaan komuniti setempat sebagai sukarelawan inovator sosial yang memainkan peranan penting sebagai agen sosial yang membantu YIM di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar jalinan kerjasama yang erat antara kerajaan negeri, Pejabat Daerah, Penghulu dan Ketua Kampung dapat memperkukuh inisiatif dalam memajukan taraf hidup serta kesejahteraan komuniti setempat secara lebih menyeluruh, bersepadu dan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN