Siapa punya kereta biru itu? - Utusan Malaysia

Siapa punya kereta biru itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Rul, nanti lepas habis kau settlekan customer tu kau terus pergi Batang Kali ye. Ada customer baru call tadi, katanya dah sejam tersadai di situ,” kata sahabatku Lokman yang berada di pejabat.
“Dekat mana tu? Kau beri aku alamat detail dia,” jawabku sambil menghidupkan enjin kereta.
Tidak lama selepas aku mematikan panggilan, aku terus menerima satu paparan mesej dari Lokman. Nampaknya aku kena bergerak ke Batang Kali pula selepas ini. Bagaimanapun, aku bersyukur kerana secara tidak langsung bulan ini pendapatan aku sedikit bertambah sebab sering bertugas lebih masa dan di luar kawasan.
Oh ya, mungkin ramai pembaca yang masih tidak pasti apa pekerjaanku. Baiklah untuk pengetahuan semua aku bekerja sebagai ‘service man’ di syarikat pengeluaran bateri kenderaan. Kiranya sesiapa pengguna jalan raya yang ‘tersangkut’ kerana bateri kenderaan tidak berfungsi akibat kerosakan atau tamat tempoh, maka mereka boleh menghubungi syarikat tempatku bekerja dan kami akan datang dan memasang secara terus di lokasi yang diberikan dengan kadar upah tertentu.
Dipendekkan cerita akhirnya aku sampai juga di Batang Kali. Beberapa kali aku berpusing-pusing dan mencari lokasi diberikan. Aku cuba telefon nombor pelanggan yang diberikan Kamarul, namun tidak berjawab.
Ikutkan hati mahu sahaja tekan minyak dan pecut pulang ke rumah, namun bila fikirkan kembali susah payah aku datang ke sini terus aku batalkan niat. Alang-alang sudah sampai baik aku cari sampai jumpa. Mungkin dia sibuk ataupun tidak dengar panggilanku tadi.
Sedang aku tercari-cari lokasi yang diberikan, tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi kuat.
“Maaf bang, abang tukang servis bateri tu kan? Saya tak dengar abang call tadi,” jawab satu suara sayup di hujung talian. Setelah berbual seketika dan dapat petunjuk tepat aku terus pecut kereta ke arah lokasi diberikan. Tidak sampai beberapa minit kemudian aku pun sampai. Di tepi jalan kelihatan seorang lelaki berdiri berhampiran sebuah kereta berwarna biru yang sedikit usang.
Di kiri kanan jalan memang sunyi sepi tanpa kenderaan. Aku tidak nafikan laluan itu memang sunyi apatah lagi menjelang malam, jika ada yang lalu pun hanyalah sebuah dua kenderaan yang menuju ke Genting Highland.
Kereta tersebut betul-betul berhenti berhampiran sebatang pokok besar di bahu jalan. Saya lihat sekeliling ada beberapa deretan bengkel kereta, namun semuanya sudah gelap gelita. Saya fikir kalaulah dia tidak menghubungi syarikat tempat saya bekerja tadi kemungkinan dia akan tersadai di situ hingga ke pagi.
“Maaf bang, terlewat sikit tadi. Saya tak jumpa lokasi yang kawan berikan,” kataku memberi penjelasan. Lelaki separuh umur yang berdiri di hadapanku hanya tersenyum sambil mengangguk.
“Tak apalah, dah datang ini pun kira syukur,” jawabnya perlahan.
Sekali pandang aku dapat simpulkan lelaki tersebut berusia dalam lingkungan awal 40-an. Rambutnya tersisir rapi dan pakaiannya juga agak kemas.
Tanpa menunggu lama terus aku minta dia buka bonet hadapan dan memasang bateri yang dibawa. Walaupun agak rumit kerana keadaan jalan dan persekitaran gelap gelita namun aku cuba selesaikan tugas dengan baik. Harap-harap dia boleh selamat sampai ke destinasi yang dituju. Setelah memastikan bateri yang ku pasang berada dalam keadaan baik, lantas aku minta dia menghidupkan enjin kenderaan.
‘VROOMMM… VROOMMMM… VROOMMM…
“Okey bang. Boleh start dah,” katanya dari dalam kenderaan sambil menunjukkan isyarat bagus.
Aku tersengih sambil mengemaskan peralatan. Setelah menerima bayaran dan memasukkan segala peralatan ke dalam kereta terus aku menuju ke arahnyamengucapkan selamat tinggal.
“Okey bang, saya gerak dulu. Terima kasih banyak-banyak. Errr, abang nak ke mana sebenarnya ni?” Tanyaku sebelum beredar.
“Saya nak ke Genting Highland. Memang saya biasa ikut jalan short cut di sini, malas nak ikut lebuh raya, nanti tak pasal-pasal terpaksa pusing jauh,” katanya.
Aku mengangguk. Benarlah apa yang dikatakannya itu. Jika hendak ikut jalan cantik dan selesa memang terpaksa ikut lebuh raya, tapi kena pusing jauhlah masuk semula ke pusat bandar.
Tanpa menunggu lama aku terus pecut kereta meninggalkan lokasi tersebut untuk pulang ke rumah. Aku toleh jam dalam kenderaan sudah hampir pukul 1 pagi.
Dua hari kemudian aku dihubungi pihak syarikat me­minta pergi ke Batang Kali sekali lagi untuk menghantar bateri kenderaan. Nasib baiklah hari masih cerah. Aku fikir lepas selesaikan tugas nanti bolehlah terus pulang ke rumah yang terletak di Selayang Baru.
Namun belum pun sampai di lokasi dituju, aku tergamam. Serta merta kaki menekan brek. Perlahan-lahan aku parkir di bahu jalan dan keluar dari kenderaan sambil terus merapati sebuah kereta usang berwarna biru yang berada di bawah sebatang pokok besar di tepi jalan tersebut.
Aku periksa kenderaan itu dengan teliti. Memang sah inilah kereta yang aku bantu tempoh hari. Aku intai di dalamnya dan nampak beberapa gumpalan pakaian lusuh di belakang serta beberapa botol minuman di hadapan. Cerminnya pula sudah kabur berkulat dan keempat-empat tayarnya pula kempis seakan sudah lama terbiar di situ.
Aku cuba tarik untuk buka bonet hadapan namun tidak berjaya. Tubuhku sudah mula dibasahi peluh. Terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Terus aku atur langkah menuju ke arah sebuah bengkel berdekatan. Nampak beberapa pekerjanya sedang sibuk mengemas kelengkapan untuk menutup operasi.
“Assalamualaikum bang,” sapaku sambil melemparkan senyuman. Beberapa pekerja di situ nampak terkejut dengan kehadiran aku.
“Waalaikumsalam. Iya, bang. Kereta rosak ke?” Tanya salah seorang lelaki di situ. Saya menggelengkan kepala.
“Maaf bang, nak tanya sikit. Kereta biru di bawah pokok itu siapa punya?” Tanyaku mengerutkan dahi. Lelaki yang ku sapa itu memandang ke arah rakannya di sebelah. Nampak wajahnya berkerut.
“Setahu saya kereta biru tu memang dah lama tersadai di situ. Dekat setahun juga. Kalau tak silap saya pemandunya meninggal dunia kemalangan di area jalan tu. Kata orang kereta dia rosak waktu dan dia tengah tunggu pomen sampai,” kata lelaki tersebut panjang lebar.
Aku terdiam. Serta merta tubuh terasa berpeluh dan jantung berdegup laju.
“Macam mana pula dia boleh meninggal bang?” Tanya saya lagi inginkan jawapan.
“Apa yang saya dengar waktu itu dia tengah tunggu pomen datang tapi dia tak perasan waktu sedang bercakap di telefon dia berdiri hampir ke tengah jalan. Masa itu gelap pula… ada kereta tengah laju, jadi kereta itu tak sempat elak,” jawabnya lagi.
Aku terdiam seketika sambil meminta diri beredar. Pelbagai persoalan bermain di benak fikiran.
Jika benar apa yang diper­katakan lelaki tadi, jadi siapa pula lelaki yang aku jumpa malam itu? Serta merta aku berasa lemah dan hendak pitam. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.