Banyak ganjaran pahala apabila sudah berkahwin, berkeluarga

Banyak ganjaran pahala apabila sudah berkahwin

USTAZ MANSOR MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKAHWINAN adalah sebahagian ibadat yang melebarkan ganjaran pahala kepada umat Islam sekiranya berpaksikan kepada sunnah dengan membina keluarga yang suci dan harmoni.

Di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup bahagia dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah).Sesungguhnya itu mengandungi keterangan yang menimbulkan (kesedaran bagi orang yang berfikir.” (surah Al-Rum , ayat 21)

Berkongsi pandangan berkaitan fadilat perkahwinan, pendakwah bebas, Ustaz Mansor Mat berkata, suami isteri bertanggungjawab menghayati konsep berkasih sayang yang menjadi jambatan kerukunan hidup berumah tangga.

Menurutnya, amalan yang boleh dilaksanakan adalah bertakwa, bekerjasama, hormat menghormati, bersyukur dan reda dengan ketentuan Allah yang di sebaliknya tersirat ganjaran pahala.

“Justeru, ijab dan qabul oleh wali atau pihak yang bertauliah adalah kunci awal mengukuhkan hubungan pasangan lelaki dan perempuan selain taklik (ikrar) kesetiaan yang lafazkan pengantin lelaki.

“Malah mahar atau mas kahwin mengikut kemampuan memberi pengertian pihak lelaki mengangkat martabat bakal isteri yang dikahwininya,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu, katanya, perkahwinan juga akan dapat mengelakkan perlakuan zina yang diharamkan oleh Islam.

Menurutnya, bahana berzina dapat dilihat dalam modenisasi masa kini iaitu hilang nilai kemanusiaan, tidak bertanggungjawab dan paling parah melibatkan pengguguran janin dan pembuangan bayi.

Katanya, dalam suatu hadis Rasulullah SAW bersabda: “ Wahai pemuda sekiranya engkau berkemampuan maka kahwinlah” dengan natijah menjaga kehormatan mengikut tertib yang digarapkan oleh Islam.

“Banyak kelebihan akan diperoleh oleh orang yang berkahwin. Bukan setakat solat dan berpuasa berkahwin pun dapat ganjaran pahala.

“Memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri juga mendapat pahala sedekah, banyak ganjaran sedekah termasuk menjaga, mendidik dan sebagainya.

“Inilah orang kata, perkahwinan membawa kesempurnaan hidup,” katanya.

——————————————————————————————————————————–

USTAZ MANSOR MAT
Asal: Pahi Kuala Krai
Usia: 72 tahun
Pendidikan:
• Pondok Haji Deraman Sungai Durian, Kuala Krai
Maahad Muhammadi Kota Bharu.
• Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan (UKM) – Syariah (1979).
Pengalaman kerja:
• Bekas pensyarah Maktab Perguruan Islam (MPI) Bangi, Selangor (1996).
• Bekas Penolong Pengarah (dakwah) Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan.
• Bekas Pengetua SMKA Tok Bachok, Kelantan (2006-2008).
Tugasan terkini: Pendakwah

———————————————————————————————————-

Mansor berkata, kaedah memilih calon isteri perlu bersandarkan kepada empat perkara iaitu harta, kecantikan, akhlak dan agama sebagaimana yang dituntut pilihlah calon isteri yang beragama yang menjadi paksi utama kerukunan berumahtangga.

“Berpegang kepada agama dan mengamalkan ajaran dan meninggalkan kemungkaran, taat melaksanakan fardu dituntut dan taat pada suami. Paksinya adalah solehah,”katanya.

Tambah beliau, tanggungjawab membentuk sesebuah keluarga merupakan tanggungjawab bersama suami dan isteri sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas orang yang dipimpin. Seorang penguasa adalah pimpinan rakyat. Seorang suami adalah pemimpin keluarga. Seorang isteri pemimpin rumahtangga, suami dan anak-anaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mansor menambah, tanggungjawab dalam membentuk rumahtangga bahagia bergantung kepada usaha, kerjasama, toleransi dan kemahuan antara pasangan suami isteri.

Katanya, perlu wujud kesepakatan, kejujuran, keikhlasan, hormat menghormati, sayang menyayangi, berlaku adil, menerima seadanya dari pasangan dan bersyukur dengan ketetapan Allah merupakan prinsip paling utama. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×