SEPERTI tidak pernah serik menuang minyak ke dalam api, itu antara persepsi segelintir netizen apabila gambar percutian pelakon cantik, Nadia Brian menerima kecaman hebat.
Mana tidaknya, ada yang kurang senang melihat penampilan seksi Nadia, malah ada juga yang mula mempersoal bab agama. Satu persatu kecaman dan cemuhan terpampang pada ruangan komen Instagram milik pelakon itu.
Jawablah! mendapatkan Nadia. Adakah dia sengaja mengundang kontroversi atau sebenarnya sudah kalis kecaman? Nadia, jawablah!
Sekali lagi, penampilan seksi Nadia di media sosial mengundang kecaman dan cemuhan. Macam tidak pernah serik. Ada yang cakap, berani sungguh si Nadia ini.
Mana ada, bukan saya sengaja mahu tarik perhatian atau cipta kontroversi. Itu gambar ketika saya bercuti di Lombok, Indonesia, baru-baru ini. Tidak adalah nampak apa-apa yang tidak senonoh.
Bab kecaman ini, kita lihat sudut positif sahaja. Masih ramai ambil peduli dan nasihatkan saya. Terima kasih, insya-Allah kita doakan semoga sama-sama berubah ke arah lebih baik.
Nadia seperti tidak terkesan dengan kecaman dan kritikan? Adakah sudah kalis kontroversi? Sudah malas mahu melayan semua itu?
Saya tidak mahu jadi hipokrit, nak tunjuk baik untuk beli jiwa. Saya jual bakat seni. Saya cuma menjadi diri sendiri. Keluarga juga memahami. Kalau kata tidak terkesan, tipulah. Kental sungguh jiwa ini.
Tetapi bagi saya, Tuhan tahu. Setiap nasihat dan doa itu, saya aminkan. Bab kecaman ini, bukan artis sahaja yang kena. Bila kita kongsi kegembiraan, pasti ada yang kurang senang melihatnya.
Tetapi kalau difikirkan, kecaman ketika awal kemunculan lebih dahsyat. Sekarang, sudah reda dan mungkin orang menerima saya seadanya.
Tetapi ada pula yang mula membangkitkan soal pegangan agama hanya kerana penampilan seksi Nadia.
Ya Allah, mulut mereka! Saya masih Islam, tahu hukum-hakam. Siapa sahaja, ada hasrat untuk berubah ke arah lebih baik. Insya-Allah, akan tiba waktu itu. Cuma, janganlah sampai mempersoalkan bab agama.
Apabila sampai tahap begini, mungkin tiba masa untuk saya melihat kembali gambar yang dimuat naik. Mungkin saya perlu laid back dan kurangkan seksi. Insya-Allah.
Kita beralih cerita. Kejayaan filem lakonan Nadia, Eva pada Festival Filem Cannes, Ogos lalu sedikit sebanyak membuka lebih banyak peluang. Pastinya ada impian untuk merangkul trofi pelakon terbaik?
Alhamdulillah, produksi tersebut telah berjaya mencipta sejarah sebagai filem pertama tanah air yang menjadi pemenang bulanan kategori thriller dan suspens anjuran Festival Filem Cannes 2023.
Semestinya, saya juga meletakkan harapan untuk merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik, suatu hari nanti. Itu adalah sasaran. Bukan untuk menunjuk atau rasa hebat, cuma kepuasan yang mahu diraih.
Nadia sudah ada buah hati? Adakah kegagalan berumah tangga dulu masih menghantui?
Akhirnya, soalan wajib ini. Tidak ada buah hati pun. Saya tidaklah trauma atau dihantui kisah lampau. Cuma, mungkin bukan sekarang kerana karier lebih diutamakan. Kalau ada jodoh nanti, saya terima.










