KUALA LANGAT: Seramai 558 orang mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini sehingga pukul 10.20 malam, hari ini.
Kesemua mangsa adalah penduduk di Kampung RTB Bukit Changgang dan beberapa taman perumahan di dalam kawasan sama melibatkan 245 keluarga.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, sehingga pukul 7 malam seramai 522 mangsa sudah pun berpindah di PPS berkenaan selepas paras air tidak berubah.
Beliau berkata, sehingga pukul 8 malam tadi juga paras air masih belum surut susulan limpahan dari Sungai Langat akibat ban pecah kira-kira 800 meter dari kawasan perumahan.
“Komander operasi melaporkan berlaku banjir di kawasan perumahan yang dianggarkan berkedalaman sehingga satu meter.
“Pada pukul 5.25 petang paras air tidak menunjukkan peningkatan dan ketika itu seramai 344 orang mangsa daripada 173 keluarga berpindah ke PPS tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan ban Sungai Langat sepanjang kira-kira 50 meter pecah berikutan peningkatan paras dan arus deras menyebabkan limpahan sekali gus membanjiri kawasan Kampung RTB Bukit Changgang.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 10.30 malam tadi disedari oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung berkenaan yang membuat rondaan pemantauan susulan hujan lebat sejak tengah hari semalam.
Keadaan itu menyebabkan lebih 3,000 penduduk terjejas selepas kediaman mereka dan jalan-jalan utama di kampung berkenaan ditenggelami air.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, rebakan yang berlaku di ban tersebut ketika projek pengukuhannya sedang berjalan, namun sudah pun mengarahkan baik pulih sementara dilakukan bagi memastikan banjir dihentikan.
Menurutnya, selain baik pulih ban, beliau turut meletakkan pam mudah alih di kawasan tersebut selepas pam skru sedia ada tidak dapat berfungsi akibat kecurian kabel.
Difahamkan, kali terakhir insiden ban pecah di dua kawasan RTB Bukit Changgang dan Labohan Dagang adalah pada Januari empat tahun lalu yang menyebabkan berlaku limpahan air ke dalam kawasan ladang kelapa sawit sebelum membanjiri perumahan berhampiran. – UTUSAN










