HULU LANGAT: Banjir kilat di sekitar daerah ini yang berulang sejak 2017 didakwa berpunca daripada pembinaan Lebuhraya Ekspres Lingkaran Timur (EKVE).
Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Felcra Semungkis, Abu Samah Ibrahim berkata, sejak projek itu dimulakan, kampung mereka dilanda banjir hampir tujuh hingga lapan kali setahun.
Menurutnya, penduduk tidak menyalahkan sepenuhnya pembangunan tersebut namun berharap kerajaan dapat mengkaji semula sistem saliran dan kolam tadahan bagi meminimumkan risiko.
“Apa gunanya kemudahan baharu jika kehidupan penduduk dikorbankan? Sejak 2017, kampung kami kerap dilanda banjir, malah kali ini yang paling buruk.
“Penduduk sudah banyak kali persoalkan bagaimana kelulusan diberi sedangkan dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sepatutnya tidak benarkan aliran air masuk ke kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Abu Samah, keadaan itu diburukkan lagi apabila kayu balak dari kawasan hutan simpan turut hanyut dan tersangkut hingga menambahkan risiko banjir.
“Kami berharap kerajaan Persekutuan dan negeri segera campur tangan serta mendahulukan keselamatan penduduk berbanding kepentingan pembangunan,” luahnya.
Sementara itu, Nurul Huda Abd. Malek, 40, memberitahu, hampir setiap tahun beliau sekeluarga terpaksa menanggung kerugian apabila perabot dan peralatan rumah musnah dihanyutkan arus deras.
Katanya, kejadian malam tadi berlaku secara tidak disangka apabila hujan lebat menyebabkan paras air sungai di belakang rumah naik mendadak hingga melimpah dan menghanyutkan barang-barang.
“Rumah saya bukan sekadar dimasuki air, malah banyak perabot, kayu dan barangan lain turut hanyut dibawa arus dari kawasan tinggi.
“Mujur semalam air masih bawah paras katil kerana suami saya sudah empat tahun terlantar akibat strok. Kalau tidak, saya terpaksa angkut keluar katil dan pindahkan dia dalam keadaan kelam-kabut,” katanya.
Beliau berkata, pembersihan selalunya mengambil masa hampir sebulan kerana lumpur tebal yang ditinggalkan banjir menyukarkan kerja-kerja mengemas.
“Setiap kali kejadian, kerugian boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Sampai bila kami perlu hadap keadaan macam ni? Takkanlah setiap kali hujan kami perlu bersedia untuk banjir?,” soalnya. – UTUSAN










