Tak sempat bawa pulang tilapia untuk keluarga - Utusan Malaysia

Tak sempat bawa pulang tilapia untuk keluarga

ANGGOTA bomba menemukan mayat mangsa pada kedalaman 4.5 meter di sebuah tapak bekas lombong di Solok Menggong, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang isteri langsung tidak menyangka bahawa pemergian suaminya ke tapak bekas lombong di Solok Menggong di sini untuk menangkap ikan tilapia bagi santapan keluarga berakhir tragedi, dalam kejadian petang kelmarin.

Selipang Sajan, 30, berkata, lokasi berkenaan bukanlah asing buat arwah suaminya, Jerrey Juli, 34, kerana mangsa selalu ke situ untuk menjaring ikan sejak 10 tahun lalu.

Katanya, Jerrey keluar memasang jaring bersama dua anak mereka berusia enam dan 10 tahun serta adik ipar, kira-kira pukul 5 petang.

JERREY JULI

Ujarnya, suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah lazimnya akan menyelam di lombong berkenaan bagi memeriksa keadaan jaring yang dipasang.

“Sudah hampir 10 tahun suami pergi ke lombong berkenaan untuk menangkap ikan tilapia bagi dijadikan lauk buat keluarga. Jadi apabila dia keluar kelmarin, saya tidak berasa apa-apa yang pelik kerana sudah menjadi kebiasaan.

“Adik ipar memberitahu selepas suami menyelam hampir 30 minit untuk memeriksa jaringnya, dia tidak naik ke perahu membuatkan adik ipar cemas. Anak dan adik ipar memanggil nama suami beberapa kali, namun tiada jawapan dan tubuhnya tidak kelihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, selepas lebih 12 jam dilaporkan hilang dipercayai lemas, mayat Jerrey yang berketurunan orang asli ditemui anggota bomba kira-kira pukul 9.17 pagi, semalam.

Mangsa ditemui pada kedalaman 4.5 meter oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Zamri Omar berkata, seramai 24 anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima panggilan kecemasan daripada isteri mangsa pukul 7.09 petang, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya berdepan kesukaran semasa operasi yang mana aktiviti selaman tidak dapat diteruskan berikutan cuaca terlalu gelap pada waktu malam.

“Pasukan PPDA menyambung operasi SAR pagi semalam dan berjaya menemukan mayat dalam kedalaman 15 kaki selepas dua minit pencarian. Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×