SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menafikan dakwaan seorang aktivis politik bahawa anggota polis disogok dengan wang dan diarah menyerahkan nombor siri kertas undi bagi menyokong Pakatan Harapan (PH).
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menafikan dakwaan tersebut dan akan menjalankan siasatan serta merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat sebarang salah laku atau kemungkinan kejadian itu berlaku.
“Selepas kenyataan itu dibuat oleh beliau, kami telah menjalankan pemantauan, namun sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung isu yang dibangkitkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan aktivis politik yang juga Penyelaras Negeri Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.
Chegubard mendakwa anggota pasukan beruniform termasuk polis diberikan wang antara RM300 hingga RM500 mengikut pangkat, selain diugut supaya menyerahkan nombor siri kertas undi sebagai bukti mereka mengundi PH.
Mengulas lanjut, Alzafny berkata, pihaknya akan memastikan proses pilihan raya berlangsung secara profesional, telus dan berintegriti.
“Jika laporan yang diterima membabitkan salah laku anggota polis seperti yang didakwa, pihak kita juga akan merujuk perkara ini kepada SPRM,” katanya.-UTUSAN










