‘Tiada siapa paksa Wong Chen hadir program parti lain’

‘Tiada siapa paksa Wong Chen hadir program parti lain’

Wong Chen
WONG Chen (tiga, kiri) hadir pada program Jelajah Kancil Negeri Sembilan anjuran Parti Bersama di Seremban, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen perlu berhenti daripada terus mencetuskan kontroversi dengan menyertai program kempen politik parti lain ketika partinya sendiri, PKR sedang memperkukuh keyakinan rakyat bagi mendepani dua pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan Setiausaha Agung PKR, G. Sivamalar berkata, tindakan wakil rakyat yang masih ahli PKR itu wajar dipersoal kerana seolah-olah menaiki dua ‘perahu’ apabila dilihat berkempen, mempromosi dan memberikan legitimasi kepada sebuah gerakan politik yang sedang membina alternatif kepada parti yang diwakilinya sendiri.

“Beliau sentiasa memainkan naratif dirinya menjadi mangsa penganiayaan. Hakikatnya, tiada siapa memaksa beliau menghadiri program parti lain, mencabar parti sendiri secara terbuka.

“Semua kontroversi yang berlaku hari ini adalah hasil pilihan politik yang dibuat oleh beliau sendiri. Jangan cipta masalah, kemudian mengadu diri dizalimi apabila orang ramai mula mempersoalkannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Malah, beliau menggesa Wong Chen supaya berterus terang jika tidak lagi yakin dengan perjuangan PKR dan tidak terus bersandiwara.

Kelmarin, Wong Chen dilihat hadir serta berucap pada program Parti Bersama, Jelajah Kancil Negeri Sembilan dan mendedahkan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Biro Disiplin PKR kerana menghadiri program hala tuju bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli.

Dalam ucapannya, beliau mendakwa tindakan yang dilakukan oleh PKR itu tidak profesional dan cuba ‘memancingnya’ supaya mengakui kesalahan di bawah ‘Klausa 1’, namun tidak didedahkan kandungan peraturan tersebut.

Bagaimanapun, Sivamalar mengingatkan Wong Chen yang memenangi Parlimen Subang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti undi menerusi tiket PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Kemenangan itu bukan milik beliau seorang. Ia dibina melalui pengorbanan ribuan anggota, sukarelawan dan penyokong yang bekerja siang dan malam untuk memastikan kemenangan besar tersebut.

“Oleh itu, jangan cuba mencipta persepsi bahawa mandat itu datang semata-mata daripada populariti beliau sendiri,” tegasnya.

Katanya lagi, pengundi di Subang adalah orang yang celik politik dan mampu menilai sendiri wakil rakyat mereka jika benar-benar berkhidmat atau sekadar mencipta polemik politik tidak berkesudahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN