BATU PAHAT: Naib Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa mendakwa kos melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) kira-kira RM90 juta adalah lebih baik diagih kepada semua 4.2 juta rakyat negeri ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor berkata, tindakan itu lebih baik berbanding digunakan untuk mengadakan PRN khususnya ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan ketika ini.
“PRN bukan benda kecil, difahamkan kos sehingga RM90 juta, bukan RM90. Itu satu angka yang besar dalam keadaan negara berdepan krisis, tetapi kita terpaksa belanja sebanyak itu.
“Kalau RM90 juta dibahagikan kepada 4.2 juta orang, seorang boleh dapat berapa. Wang itu sepatutnya kita gunakan untuk pembangunan rakyat, tetapi sebaliknya digunakan hanya untuk pastikan mereka terus berkuasa,” katanya ketika berucap pada program Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Johor di sini, malam ini.
Sehubungan itu, Dr. Zaliha turut mempersoal keputusan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada ketika tempoh pentadbiran kerajaan negeri masih berbaki kira-kira setahun.
“Jika alasannya disebabkan kerajaan negeri tidak stabil, mereka (Barisan Nasional) ada 40 kerusi DUN. Itu stabillah, tetapi tiba-tiba umum bubar DUN, apa yang mereka hendak tunjuk sebenarnya, boleh sahaja tunggu tamat penggal.
“Walaubagaimanapun, PH tidak gentar, gendang perang sudah dipalu walaupun sedikit luar biasa, tetapi kita akan pastikan PH menang di PRN Johor akan datang,” katanya.
Pada masa sama, beliau mendakwa kejayaan kerajaan negeri ini merekodkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM110 bilion tahun lalu dibantu kepimpinan PH di peringkat pusat.
Habis..










