JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu senarai nama calon yang akan bertanding mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hampir dimuktamadkan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu bagaimanapun enggan mendedahkan agihan pecahan calon yang akan bertanding daripada parti komponen sama ada daripada UMNO, MCA dan MIC.
“Untuk PRN Johor, insya-Allah, kita akan umumkan (nama calon) seminggu sebelum hari penamaan. Senarai nama calon di peringkat yang sangat terakhir sekarang ini, insyaAllah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Zikir di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi BN Negeri Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Jumaat lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh bagi penamaan calon PRN Johor adalah pada 27 Jun ini, manakala Hari Pengundian Awal pada 7 Julai dan 11 Julai pula ditetapkan untuk Hari Mengundi.
Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan penubuhan parti politik Melayu baharu yang berhasrat menyatupadukan masyarakat dan bukannya untuk memecahbelahkan.
“Apapun wadah yang digunakan tetapi apabila akhirnya kita dapat menyatukan, tindakan kita atas agenda negara, agenda Islam dan agenda anak bangsa kita, Insya-Allah.
“Dokongan akan dapat kita berikan, kerana kita juga telah bersama-sama untuk bertemu dalam wacana ataupun perbincangan melalui kolaborasi nasional yang telah kita adakan seperti agenda Rumah Bangsa,” katanya.
Semalam Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa gerakan itu akan dikenali sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan) dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama pelbagai blok di negara ini.
Beliau dilaporkan berkata, penubuhan parti itu bertujuan sebagai wadah penyatuan yang akan bekerjasama dengan Pas dan parti-parti lain yang sehaluan untuk membentuk kesefahaman politik yang lebih komprehensif dan meyakinkan.-UTUSAN










