PRN Johor: Amanah Pasir Gudang ancam boikot kempen

PRN Johor: Amanah Pasir Gudang ancam boikot kempen calon payung terjun

HAINI Harun (duduk tengah) bersama sebahagian ahli jawatankuasa Amanah Kawasan Pasir Gudang mengadakan sidang akhbar di Taman Cendana, Pasir Gudang menolak calon payung terjun di DUN Permas pada PRN Johor akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Pasir Gudang memboikot calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo Siew Hui yang diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Penolong Setiausaha Amanah Kawasan Pasir Gudang, Haini Harun berkata, keputusan memboikot calon payung terjun itu dibuat secara sebulat suara barisan kepimpinan Amanah Kawasan.

Katanya, pihaknya kekal menyokong Ketua Amanah Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman Abdullah sebagai calon yang lebih layak berdasarkan kepimpinan dan gerak kerja yang dilakukan sejak awal penubuhan Amanah.

“Desas desus kedudukan beliau akan diganti calon luar, iaitu calon payung terjun telah kami dengar sejak Mei lalu. Surat bantahan telah dikemukakan beberapa kali namun sehingga kini tidak berbalas.

“Sebaliknya kepimpinan Amanah memilih meletakkan calon luar yang tidak dikenali jentera akar umbi dan penyokong PH di kawasan ini. Bagaimana jentera hendak bergerak memperkenalkan calon kepada pengundi dalam tempoh singkat.

“Sehubungan itu, kami membuat keputusan untuk memboikot calon berkenaan dengan tidak akan membantu kempennya. Walaubagaimanapun kami tidak akan menghalang atau menjejaskan jentera kempen pihak yang datang dari luar kawasan,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Cendana, Pasir Gudang di sini hari ini.

Haini turut memberitahu, keputusan itu dibuat pihaknya susulan pelbagai gerak kerja peringkat akar umbi telah dilaksanakan sepanjang tempoh empat tahun lebih khususnya selepas tamat PRN Johor yang lalu.

“Ini bukan kali pertama terjadi kepada Syed Othman, kali pertama beliau diketepikan adalah pada PRN Johor ke-14 bagi memberi laluan kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kami menolak kerana yakin pemilihan calon payung terjun hanya akan menjejaskan usaha PH menarik sokongan pengundi di kawasan, apatah lagi apabila melibatkan calon berketurunan Cina kerana DUN Permas memiliki majoriti pengundi Melayu sebanyak 56 peratus, berbanding pengundi Cina sebanyak 30 peratus.

“Selain itu, sentimen negatif masyarakat terhadap DAP masih kuat dalam komuniti Melayu dibimbangi akan dikaitkan dengan calon daripada masyarakat Cina di kawasan ini,” katanya.

Kelmarin, Anwar yang juga Perdana Menteri mengumumkan bekas pegawai khas Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai calon gabungan itu bagi kerusi DUN Permas pada PRN Johor ke-16.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN