KUALA LUMPUR: Strategi pilihan raya UMNO tidak boleh lagi terikat dengan formula lama, sebaliknya perlu disesuaikan dengan realiti semasa.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan tersebut bukan satu kelemahan, sebaliknya merupakan kekuatan kerana ia memberi ruang kepada parti menyesuaikan strategi mengikut keadaan semasa.
Menurut beliau, UMNO perlu membaca sentimen rakyat, menilai kekuatan lawan serta menyusun pendekatan yang lebih relevan dengan perkembangan semasa.
“Dalam politik moden, fleksibiliti adalah senjata. Pilihan raya hari ini bukan lagi sekadar ceramah, tetapi melibatkan analisis dan data.
“Calon yang dipilih mesti berintegriti, boleh menang dan dekat dengan rakyat,” katanya dana ucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Beliau berkata, matlamat utama parti itu adalah untuk mengembalikan UMNO sebagai parti dominan dalam negara, namun kejayaan tersebut memerlukan usaha berterusan.
“Matlamat kita jelas, iaitu untuk mengembalikan UMNO sebagai parti dominan dalam negara. Namun, kemenangan tidak datang dengan sendiri. Ia memerlukan disiplin, strategi dan kesatuan.
“Jika kita berpecah, kita akan kalah sebelum bertanding. UMNO tidak boleh kekal seperti sekarang. UMNO mesti berubah.
“UMNO tidak mati, tidak hilang, tetapi sedang diuji. Dan setiap kali diuji, UMNO akan bangkit lebih kuat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak supaya menyokong usaha pembaharuan parti bagi mengembalikan peranannya sebagai wadah utama politik bangsa Melayu.
Katanya, UMNO juga perlu menjadi gerakan pembaharuan yang menjadikan Islam sebagai inspirasi kemajuan dan cara hidup sebenar, bukan sekadar retorik politik semata-mata.
“Dukunglah UMNO sebagai Rumah Bangsa, tempat orang Melayu mencari perlindungan, kekuatan dan kehormatan.
“Iltizam kepimpinan adalah untuk membina UMNO berasaskan nilai keadilan, kebebasan, ketelusan dan kesepakatan.
“Kita mahu politik yang mendorong kebaikan, melahirkan pemimpin yang amanah, bertanggungjawab dan menjauhi penyalahgunaan kuasa,” katanya. – UTUSAN










