‘Bangkit daripada tidur’, kembali relevan

‘Bangkit daripada tidur’, kembali relevan

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu ‘bangkit daripada tidur’ dan sedar hakikat bahawa parti tersebut tidak lagi berkuasa mutlak mahupun menerajui kerajaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kesedaran tersebut penting bagi membolehkan parti itu me­rangka langkah strategik untuk kembali relevan dalam landskap politik yang semakin mencabar.

“Kita perlu sedar. Tetapi, tidak ada orang yang bangun sebelum sedar.

“Saya rasa dalam dewan ini kita seolah-olah berasa kita mempunyai kuasa mutlak, tetapi hakikatnya kita hanya ada 26 kerusi,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini semalam.

Menurut beliau, UMNO juga perlu mengakui bahawa parti itu tidak lagi menerajui kerajaan serta sedang berdepan perubahan ketara dalam corak soko­ngan pengundi Melayu.

Katanya, kepelbagaian pilihan dan citarasa pengundi ketika ini turut memberi tekanan kepada UMNO yang imej serta integritinya masih dalam proses pemulihan.

Katanya, landskap politik negara juga telah berubah secara drastik dan menuntut pendekatan baharu bagi memastikan UMNO kembali mendapat mandat daripada pengundi.

“Ini semua adalah perkara yang perlu kita cari jalan penyelesaian bagaimana hendak bangkit.

“Kalau ikut sejarah mana-mana negara, untuk bangkit semula bukan perkara mudah,” katanya.

Johari berkata, persaingan politik yang semakin sengit turut menjadi cabaran utama apabila parti-parti baharu semakin mengukuhkan kedudukan mereka.

Beliau berkata, konflik dalaman dalam UMNO turut menyumbang kepada kelemahan parti apabila perpaduan yang sebelum ini menjadi kekuatan utama semakin terhakis.

“Kita lihat bagaimana Bersatu mengambil pemimpin dan penyokong kita. Kita juga lihat bagaimana Pejuang lahir daripada bekas pemimpin UMNO. Begitu juga dengan Pas yang turut menerima penyokong yang tidak lagi bersama kita.

“Akhirnya, keadaan ini menjadikan landskap politik semakin kompetitif. Semua ini berpunca daripada konflik dalaman yang berlaku dalam UMNO sendiri,” katanya.

Johari berkata, UMNO juga berdepan kesan daripada skandal besar yang menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti tersebut.

Katanya, pengundi masa kini lebih cenderung menilai parti berdasarkan isu ekonomi dan kurang bertoleransi jika sesuatu parti berhadapan dengan skandal.

“Perkara seperti ini mungkin boleh kita ‘wayang’ dalam kalangan sendiri, tetapi di luar sana, dalam tempoh masa tertentu, ia menyebabkan kepercayaan rakyat semakin terhakis.

“Pengundi hari ini tidak lagi mempunyai kesetiaan tetap kepada mana-mana parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN