JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir menegaskan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mempunyai kebebasan untuk menyertai parti baharu bagi meneruskan perjuangan politik beliau.
Akmal Nasrullah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, perkara itu selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Saya yakin masing-masing ada ruang untuk terlibat (mana-mana parti politik) mengikut pembawaan yang sesuai dengan yang dipilih mereka.
“Perkara ini menunjukkan komitmen kita untuk terus memperkukuhkan budaya politik yang lebih matang,” katanya ketika ditanya berhubung kewujudan Parti Bersama Malaysia (Bersama) oleh Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru yang diadakan di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah sebelum ini dilihat sebagai antara pemimpin PKR yang rapat dengan kem Rafizi, dimana beliau tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru tahun lalu, namun mengekalkan kedudukannya dalam kepimpinan pusat sebagai ahli MPP.
Pada 17 Mei lalu, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli parlimen dan keluar PKR, selain pengambilalihan Bersama yang telah ditubuhkan pada 2016.
Bekas Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa itu turut mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebagai calon parti berkenaan.










