KUALA LUMPUR: Melaka berupaya menjadi medan kebangkitan semula UMNO berdasarkan rekod kemenangan besar parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, daripada jumlah tersebut, UMNO menyumbang 18 kerusi sekali gus membolehkan BN membentuk majoriti dua pertiga.
“Kita akan berdepan dengan pilihan raya negeri yang hanya berbaki kira-kira 150 hari lagi. Melaka akan saya jadikan medan perjuangan. Melaka akan saya jadikan medan kebangkitan.
“Melaka akan menjadi rujukan masa depan UMNO. Kita tidak mampu tumbang dan merempat di bumi sendiri,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tempoh pentadbiran sebelum ini, Melaka menunjukkan prestasi memberangsangkan menerusi pendekatan merakyatkan pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat yang dilaksanakan secara berkala membolehkan kerajaan turun padang ke setiap kawasan bagi menyelesaikan isu rakyat secara langsung.
“Hasilnya, sebanyak 3,000 aduan berjaya diselesaikan daripada 4,000 aduan yang diterima, satu pencapaian yang direkodkan secara rasmi.
“Malah, permohonan pemberian tanah yang tertangguh sehingga 30 tahun berjaya diselesaikan dalam tempoh 10 minggu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pendekatan baharu turut diperkenalkan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik, khususnya melalui penggunaan platform digital.
Katanya, inisiatif JR Digital membolehkan jentera parti, termasuk golongan wanita, mendekati pengundi secara lebih efektif melalui media sosial.
“Sekarang ini, capaian media sosial wakil rakyat Melaka meningkat dengan ketara hasil penggunaan JR Digital,” katanya.
Ab Rauf berkata, beliau turut menyokong gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha menyatukan orang Melayu di bawah satu wadah perjuangan.
Katanya, setakat ini permohonan secara digital untuk menyertai UMNO dan Rumah Bangsa telah melebihi 14,000, menunjukkan keyakinan rakyat terhadap parti itu mula pulih.
“Rumah Bangsa merupakan asas kepada pembinaan generasi baharu yang akan mewarisi perjuangan UMNO pada masa hadapan.
“Sambutan yang menggalakkan ini secara tidak langsung menunjukkan keyakinan rakyat terhadap UMNO mula kembali dan membuka ruang untuk kita membina semula kekuatan parti,” katanya. – UTUSAN










