SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin sepatutnya memainkan peranan menjadi pendamai dalam kalangan pimpinan dan akar umbi parti itu.
Setiausaha Badan Pimpinan Negeri (BPM) Bersatu Selangor, Rosnizan Ahmad berkata, Hamzah sebaliknya gagal memainkan peranan justeru dia perlu diambil tindakan terhadap tindakan yang didakwa memecah-belahkan parti.
“Hamzah mencabar autoriti Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kegagalan mengawal penyokong sendiri, ditambah sikap berdiam diri yang didakwa seolah-olah merestui serangan terbuka terhadap presiden.
“Walaupun Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) membuat keputusan supaya semua serangan dalaman dihentikan merupakan kegagalan kepemimpinan yang serius,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Malah, beliau turut melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap tindakan Hamzah yang didakwa menjadi punca konflik dan ketidaktentuan dalaman parti, termasuk dakwaan mendalangi usaha mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan.
“Semua jawatan tertinggi, termasuk presiden dan timbalan presiden diperoleh melalui proses pemilihan yang sah dan demokratik.
“Sebarang usaha menukar kepimpinan melalui tekanan terbuka, gerakan dalaman atau pengaruh peribadi merupakan tindakan tidak bermoral yang merosakkan demokrasi dalaman parti,” tegasnya.
Katanya lagi, sebarang cubaan menggantikan presiden atau timbalan presiden di luar proses tersebut disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap prinsip asas parti.
Sehubungan itu, lembaga disiplin ujarnya wajar bertindak tegas, adil dan tanpa kompromi terhadap Hamzah atas dakwaan penglibatannya dalam tindakan yang mencabar Perlembagaan parti serta mengancam perpaduan dalaman. – UTUSAN











