PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil perlu dilaksanakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Jumaat lalu.
Menurut bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, di bawah sistem demokrasi berparlimen negara, kekosongan tersebut perlu diisi dalam tempoh 60 hari melalui pelaksanaan PRK.
“Meskipun Allahyarham Bung Moktar belum sempat mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Sabah, beliau tetap diisytiharkan sebagai wakil rakyat bagi DUN Lamag sebaik sahaja kemenangannya diumumkan.
“Acara angkat sumpah di hadapan Speaker sama ada di Dewan Rakyat bagi Ahli Parlimen atau di DUN bagi Ahli DUN merupakan prosedur rasmi Dewan sebelum seseorang wakil rakyat memulakan tugasnya,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-Undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, kedua-dua kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag perlu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya.
Menurut Muhammad Fathi, perkara itu bertepatan dengan peruntukan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan aturan mengenai kekosongan kerusi Parlimen dan kewajipan mengadakan PRK apabila berlakunya satu-satu kekosongan.
Bagaimanapun, peruntukan sama menyatakan bahawa PRK tidak wajib diadakan sekiranya kekosongan itu berlaku dalam tempoh dua tahun terakhir sesuatu penggal.
“Penggal Parlimen dikira bermula pada hari pertama sidang Parlimen selepas pilihan raya berlangsung, bukannya pada tarikh pilihan raya itu sendiri.
“Walaupun pilihan raya diadakan lebih awal, sidang pertama Parlimen hanya bermula pada 19 Disember 2022. Oleh itu, tempoh lima tahun penggal sebenarnya bermula pada 19 Disember 2022 dan akan berakhir pada 18 Disember 2027,” katanya.
Menurutnya, kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan berlaku sebelum penggal memasuki tempoh dua tahun terakhir, maka PRK wajib diadakan selaras dengan Perkara 54.
“Justeru, dalam kes kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan yang berlaku sekarang, pada hemat saya, PRK perlu diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut,” katanya. – UTUSAN










