KOTA KINABALU: Datuk Jawawi Jaafar tidak berasa malu dan segan meskipun sering berdepan persepsi negatif termasuk digelar sebagai ‘katak politik’ kerana sudah bertukar empat parti dalam tempoh tujuh tahun.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Malalap itu berkata, perpindahan parti itu bukanlah keputusan peribadi semata-mata, sebaliknya hasil rundingan di peringkat tertinggi antara kepemimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH.
“Perundingan itu dibuat di antara Presiden GRS dan Presiden PH. Ketua Menteri pun ada buat kenyataan menyokong dan Perdana Menteri sendiri ketika berada di Melalap menyatakan bahawa proses penelitian calon dilakukan secara berperingkat.
“Itu memudahkan kerja saya. Semua sudah bersih, tutup cerita isu lompat parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jamawi sebelum ini pernah berada dalam UMNO, namun meninggalkan parti itu selepas perubahan landskap politik nasional pada 2018 dan kemudian menyertai Parti Warisan (Warisan) serta memainkan peranan aktif dalam parti tersebut, khususnya dalam program mendekati pengundi di kawasan pedalaman.
Namun, Jamawi kemudiannya berpindah ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika gelombang perubahan politik di peringkat negeri dan Persekutuan, sebelum akhirnya memilih untuk menyertai PKR sekali gus mewakili PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Jamawi berkata bagaimana pun, tindakannya itu tidak pun menjejaskan beliau untuk memperoleh kemenangan pada PRN kali ini.
“Setakat ini, kita sudah menjelajah hampir separuh kawasan Melalap dan respons sangat positif. Insya-Allah, kita akan beroleh kemenangan pada bulan nanti,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan berpindah lagi jika tewas kelak, Jamawi menolak spekulasi itu dan menegaskan prinsip perjuangannya kekal.
“Saya bermula dengan kebun durian, insya-Allah akhirnya juga dengan kebun durian. Berbudi pada tanah, berbudi pada tanah,” katanya.
Jamawi turut menjelaskan strategi menarik golongan muda ke program ceramah, termasuk menampilkan penyanyi popular Baby Shima menjadi tumpuan anak muda berusia bawah 30 tahun.
“Kalau setakat dengar cerama orang balik, orang keluar. Anak muda mana yang hendak datang dengar ceramah? Sebelum ceramah, dia nyanyi satu lagu, kemudian ceramah. Jadi, itu salah satu tarikan untuk berkempen yang saya gunakan,” katanya. – UTUSAN










