Calon BN, PH, Bebas PRN Sabah

Calon BN, PH, Bebas PRN Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gendang ‘pe­rang’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 semakin ‘bergema’ menjelang empat hari sebelum tarikh penamaan calon yang akan mewakili parti masing-masing merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kerajaan ne­geri.

Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Maju Sabah (SAPP) memperlihatkan kesediaannya masuk gelanggang apabila sejak kelmarin sudah pun mengumumkan calon masing-masing.

Mereka mempertaruhkan gandingan ‘orang baharu’ dan ‘orang lama’ bagi mengikat hati pengundi termasuk mencalonkan bekas Menteri, Timbalan Menteri bahkan bekas Ketua Menteri Sabah sendiri.

Pilihan raya kali ini tampak berbeza dengan penyertaan 17 calon daripada blok Bebas yang menggelarkan diri mereka sebagai Gelombang Hitam turut mahu mencuba nasib memikat undi rakyat Sabah di kerusi diyakini mereka untuk menang.

BN yang diwakili oleh UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tampil dengan penuh keyakinan apabila me­ngumumkan akan bertanding di 41 kerusi DUN sambil mempertaruhkan nama-nama besar termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Selain itu, turut diumumkan nama bekas Menteri Kese­jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Rahman Dahlan; bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata, senarai calon BN itu belum muktamad kerana dijangka ada lagi kerusi tambahan akan diumumkan dalam masa terdekat ini sekali gus dijangkakan gabungan itu bakal bertanding di 47 hingga 48 DUN.

PH pula mengumumkan akan bertanding di 23 kerusi DUN dengan pecahan komposisi PKR 10, DAP tujuh, Amanah satu dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) lima.

Bagaimanapun, peletakan ja­watan Presidennya, Datuk Ewon Benedick dari jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menimbulkan tanda tanya sama ada parti itu akan kekal bersama PH atau mengambil haluannya sendiri.

Dalam pengumuman calon PKR yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Pre­siden PKR membuat kejutan apabila menamakan anak lelaki Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman iaitu Datuk Yamani Hafez Musa sebagai calon di Sindumin.

PKR juga menamakan dua bekas ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Jamawi Jaafar dan Datuk George Hiew, ma­sing-masing dinamakan sebagai calon kerusi DUN Melalap dan Karamunting.

Dalam pada itu, SAPP meletakkan enam calon terdiri daripada dua Timbalan Presidennya iaitu Datuk Edward Dagul dan Datuk Japiril Suhaimi di DUN Limbahau dan Kundang.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee kekal tidak bertanding di peringkat DUN.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan gabungannya akan me­ngumumkan calon parti yang akan bertanding pada esok (Rabu), dua hari sebelum hari penamaan calon.

Mengambil pendekatan sa­ma, Parti Warisan juga akan mengumumkan nama-nama ca­lonnya ada esok namun me­reka dijangka bertanding kese­mua 73 kerusi DUN Sabah secara solo.

Satu lagi gabungan yang juga akan memberi saingan dalam merebut kerusi di DUN Sabah adalah Perikatan Nasional (PN) membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.

Walaupun belum mengumumkan calonnya namun PN dijangka meletakkan calon di 40 kerusi dengan lima daripa­danya diserahkan kepada Pas untuk mencuba nasib di Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pena­maan calon untuk PRN Sabah pada 15 November, tarikh pe­ngundian awal pada 25 November manakala hari pengundian 29 November. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN