SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) kini memiliki 200,000 ahli dengan kekuatan 185 kawasan berdaftar di seluruh negara, memperlihatkan peningkatan ketara dalam struktur organisasi parti itu menjelang pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, dengan kerjasama pimpinan negeri di Pahang, Terengganu dan Sabah, Amanah berjaya menubuhkan lima kawasan baharu tahun ini iaitu di Cameron Highlands, Ulu Terengganu, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.
Katanya, perkembangan tersebut membuktikan komitmen kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat untuk memperkukuh kedudukan Amanah sebagai parti Islam progresif dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita berjaya menambah 137 cawangan baharu, menjadikan keseluruhan sebanyak 2,142 cawangan di seluruh negara. Tahniah kepada semua pimpinan kawasan dan cawangan atas usaha berterusan mengembangkan jaringan parti.
“Kejayaan ini menandakan Amanah semakin matang dan diterima masyarakat, hasil pendekatan politik khidmat, politik ihsan dan politik progresif yang diamalkan sejak penubuhannya 10 tahun lalu,” katanya dalam Konvensyen Nasional Amanah 2025 di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini.
Menurutnya, tumpuan utama kini diberikan kepada pengukuhan jentera di Sabah memandangkan cabaran politik di negeri itu memerlukan strategi tersusun serta kesepaduan dalam kalangan anggota.
“Melalui semangat dan kesatuan yang ada, Amanah mampu menambah kerusi di Sabah sekiranya diberi peluang bertanding. Kita mesti terus bersemangat dan komited memastikan kejayaan kempen Amanah dan Pakatan Harapan di negeri tersebut.
“Semua anggota perlu bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Melaka dan Sarawak yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat, sebagai persiapan penting menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
“Konvensyen tahun ini sangat penting kerana ia menjadi medan untuk kita menggarap idea dan strategi bagi memastikan Amanah terus cemerlang dalam PRN, sekaligus membawa momentum itu ke PRU akan datang,” katanya. – UTUSAN










