PETALING JAYA: Polis Kontinjen Sarawak bersedia membantu Kontinjen Sabah dalam memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 tidak lama lagi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, bantuan akan diberikan mengikut keperluan, terutama ketika tempoh kempen yang lazimnya mencabar daripada segi kawalan keselamatan dan pergerakan orang ramai.
Beliau berkata, sebagai kontinjen paling hampir dengan Sabah, ia menjadi tanggungjawab Sarawak untuk menyalurkan bantuan sumber manusia dan logistik apabila diperlukan.
“Kita menunggu apa juga perkembangan berhubung PRN Sabah dan akan memberikan bantuan sepenuhnya sekiranya diminta oleh kontinjen di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, walaupun jumlah anggota belum ditentukan setakat ini, namun polis Sarawak bersedia menggerakkan kekuatan yang diperlukan mengikut penilaian semasa.
“Sudah tentu bantuan daripada segi sumber manusia akan banyak datang dari Sarawak kerana faktor geografi yang berdekatan dan kemudahan penghantaran anggota ke lokasi ditetapkan,” katanya.
Katanya, pihaknya juga sudah mula melakukan persiapan dalaman bagi mengenal pasti jumlah anggota yang boleh ditugaskan tanpa menjejaskan keperluan keselamatan di Sarawak.
“Dalam masa sama, koordinasi dengan polis Sabah juga akan ditingkatkan bagi memastikan semua aspek keselamatan berjalan lancar sepanjang proses pilihan raya berlangsung,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah secara rasminya dibubarkan pada 6 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Oktober ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting serta urusan berkaitan perjalanan PRN Sabah, termasuk tarikh penamaan calon, pengundian awal, dan hari mengundi. – UTUSAN










