Muhyiddin dipilih secara sah - Harrison

Muhyiddin dipilih secara sah – Harrison

Hamzah Bersatu
HARRISON HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kedudukan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak wajar dipertikai berikutan pemilihannya dibuat secara sah dalam Perhimpunan Agung Tahunannya (PAT) pada November tahun lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Harrison Hassan berkata, keseluruhan kepemimpinan parti pada hari ini dipilih secara sah oleh perwakilan akar umbi pada pemilihan tersebut.

“Oleh itu kami sekeras-kerasnya menolak siapa saja yang sengaja memporak-perandakan parti ini.

“Kami menyokong apa jua tindakan disiplin parti yang berlandaskan peraturan dan perlembagaan agar dikenakan ke atas mana-mana ahli yang terbukti mempunyai ‘mala fide’, bersekongkol mahupun merancang untuk melemahkan parti atau demi untuk mencapai ‘cita-cita sendiri’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, majoriti ahli yang setia kepada perjuangan dan memahami peraturan serta perlembagaan parti mahukan kepemimpinan Muhyiddin untuk terus memimpin Bersatu ke hadapan.

“Kami bersedia bekerja keras bersama-sama kepimpinan yang ada untuk memenangi majoriti kerusi dalam negara pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang,” jelasnya.

Utusan Malaysia pada 1 Oktober lalu melaporkan Bersatu didakwa mengalami pergolakan dalaman apabila dikatakan wujud dua kem membabitkan Muhyiddin dan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dakwaan itu semakin ketara apabila Ahli Parlimen parti itu bagi Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan melakukan serangan terbuka ke atas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali termasuk mengungkit isu video intim yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu.

Malah, Ahli Parlimen Indera Mahkota (Bersatu), Datuk Saifuddin Abdullah semalam dilaporkan secara terbuka mengkritik Muhyiddin dan mendesak Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada kepemimpinan baharu.

Harrison yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kuala Selangor menegaskan, tindakan menggesa presiden supaya berundur tidak masuk akal.

“Itu kenyataan yang sangat dangkal. Hanya individu yang cetek pemikiran politik serta tidak memahami organisasi politik akan membuat kenyataan sebegitu.

“Saya dan ahli-ahli di bawah berkeyakinan penuh parti berada di jalan yang benar. Halatuju parti yang diterajui oleh pengasas dan presiden parti hari ini bergerak mantap.

“Masyarakat kini terumbang-ambing dan menderita dalam kehidupan seharian, dek pentadbiran kerajaan madani. Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pastinya akan menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada kelak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN