KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (Amanah) menyasarkan untuk bertanding di lima kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang, dengan sebahagian rundingan kerusi bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah diselesaikan.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rundingan bersama gabungan PH-BN bagi dua kerusi dimuktamadkan, namun tidak mendedahkan kawasan yang terlibat.
“Tiga lagi kerusi masih dalam proses rundingan, iaitu Sulabayan, Tanjung Aru dan Lumadan. Sama ada Amanah mendapat kerusi-kerusi ini atau tidak, kita serah kepada proses perundingan. Namun kami berjanji Amanah akan kekal utuh,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera PRN Sabah Amanah di Sembulan, di sini, hari ini.
Turut hadir dalam majlis pelancaran jentera PRN itu ialah Pengerusi Amanah Sabah, Datuk Lahirul Latigu.
Mohamad berkata, jentera parti akan mula digerakkan melalui kempen-kempen kecil untuk mendekati pengundi secara berperingkat.
Katanya, Amanah komited bekerjasama dengan parti komponen PH dan pihak berkepentingan lain bagi memperkukuh kekuatan gabungan di Sabah.
Mengulas mengenai peningkatan sentimen parti-parti tempatan di Sabah, Mohamad menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam landskap politik negeri itu.
“Itu hanya pandangan. Apa pun calon-calon yang kita kemukakan nanti adalah dalam kalangan anak tempatan Sabah sendiri,” katanya. – UTUSAN











