WCE Holdings Berhad terus catat pertumbuhan hasil kutipan tol

WCE Holdings Berhad terus mencatat pertumbuhan hasil kutipan tol pada suku kedua TK2027

KETUA Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad, Lyndon Alfred Felix .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: WCE Holdings Berhad (WCEHB) hari ini mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku kedua berakhir 30 September 2026 (S2 TK2027). 

Prestasi Kewangan WCEHB WCEHB terus memperkukuh prestasi operasinya pada suku kedua TK2027, disokong oleh pertumbuhan berterusan hasil kutipan tol daripada seksyen Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (West Coast Expressway atau WCE) yang telah siap dan beroperasi. 

Bagi suku kedua TK2027, WCEHB mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM154.8 juta, kekal stabil berbanding RM154.3 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026 (6B TK2027), hasil WCEHB menurun sebanyak 46 peratus berbanding tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh hasil pembinaan Projek WCE yang lebih rendah, seiring dengan pengurangan aktiviti pembinaan apabila projek semakin menghampiri fasa penyiapan. 

WCEHB mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM50.4 juta bagi suku kedua TK2027 dan RM83.8 juta bagi tempoh enam bulan TK2027, berbanding masing-masing RM35.9 juta dan RM70.5 juta pada suku dan tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

Peningkatan kerugian tersebut terutamanya disebabkan oleh kos pembinaan tambahan berikutan pelaksanaan program percepatan kerja bagi Seksyen 7B. 

Walaupun mencatatkan hasil kumulatif yang lebih rendah, WCEHB terus merekodkan EBITDA positif sebanyak RM15.6 juta bagi suku kedua TK2027 dan RM47.2 juta bagi tempoh enam bulan TK2027, disokong oleh sumbangan hasil berulang daripada operasi tol. 

Segmen konsesi terus menunjukkan perkembangan positif dengan hasil kutipan tol masing-masing meningkat sebanyak 6 peratus bagi suku kedua TK2027 dan 9 peratus bagi tempoh enam bulan TK2027 berbanding tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya. 

Pertumbuhan ini terutamanya didorong oleh peningkatan trafik organik di seksyen WCE yang telah beroperasi. 

Sementara itu, hasil pembinaan dalam segmen konsesi masing-masing menurun sebanyak 15 peratus bagi suku kedua TK2027 dan 69 peratus bagi tempoh enam bulan TK2027 berbanding tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya. 

Penurunan ini mencerminkan pengurangan aktiviti pembinaan apabila Projek WCE semakin menghampiri fasa penyiapan. 

Dalam tempoh suku yang ditinjau, aktiviti pembinaan tertumpu terutamanya kepada baki kerja pembinaan Seksyen 3 dan Seksyen 7. 

Segmen konsesi mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM33.8 juta bagi suku kedua TK2027, kekal stabil berbanding suku yang sama tahun sebelumnya. 

Bagi tempoh enam bulan TK2027, kerugian sebelum cukai berkurangan kira-kira 3 peratus kepada RM65.2 juta berbanding RM67.1 juta pada tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya, disokong terutamanya oleh peningkatan hasil kutipan tol. 

WCE Maju Sdn. Bhd., cabang pembinaan WCEHB, kini melaksanakan baki kerja pembinaan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Seksyen 7B Projek WCE. 

Hasil pembinaan bagi suku kedua TK2027 dan tempoh enam bulan TK2027 masing-masing meningkat sebanyak 24 peratus dan 15 peratus berbanding tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya. 

Peningkatan tersebut didorong terutamanya oleh aktiviti pembinaan yang dipergiatkan di Seksyen 7B Projek WCE serta baki empat Kawasan Rehat dan Rawat dalam tempoh suku yang ditinjau. 

Segmen pembinaan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM15.3 juta bagi suku kedua TK2027 dan RM15.1 juta bagi tempoh enam bulan TK2027. Kerugian tersebut terutamanya berpunca daripada kos tambahan berikutan pelaksanaan program percepatan kerja, termasuk peningkatan harga bahan binaan dan bahan api serta perubahan reka bentuk. 

Pada masa ini, lapan daripada keseluruhan 11 seksyen WCE telah beroperasi, meliputi jajaran sepanjang 180 kilometer merentasi Selangor dan Perak.

Kumpulan kekal komited untuk menyiapkan baki seksyen Projek WCE di samping memperkukuh operasi tol. 

Kerja pembinaan bagi baki Seksyen 3 (KESAS – Laluan Persekutuan 2) dan Seksyen 7 (Assam Jawa – Tanjong Karang) sedang giat dilaksanakan, manakala Seksyen 4 (Laluan Persekutuan 2 – Pintasan Selat Klang Utara Baharu), yang telah siap sepenuhnya, dijadualkan dibuka bersama-sama Seksyen 3. 

Dengan keseluruhan jajaran WCE disasarkan beroperasi sepenuhnya pada awal 2027, WCEHB menjangkakan peningkatan kesalinghubungan rangkaian jalan raya akan terus menyokong pertumbuhan trafik dan hasil kutipan tol, sekali gus menyumbang secara positif kepada aliran tunai operasi serta kemampanan kewangan jangka panjang kumpulan. 

Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad, Lyndon Alfred Felix, berkata: “Kami menyambut baik pertumbuhan berterusan hasil kutipan tol yang mencerminkan pertumbuhan trafik yang positif di seksyen Projek WCE yang telah beroperasi. 

“Perkembangan ini mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap potensi jangka panjang WCE sebagai koridor pengangkutan utama di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia. “Seiring dengan Projek WCE yang semakin menghampiri fasa penyiapan, kami kekal komited untuk memastikan baki seksyen disiapkan mengikut jadual, di samping meningkatkan kecekapan operasi dan kesalinghubungan bagi pengguna lebuh raya.” 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini