MUKTAMAR Tahunan Pas kali ke-70 yang berlangsung selama lima hari di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh, Pahang yang melabuhkan tirainya, Ahad lalu berlangsung dalam suasana harmoni dan lancar.
Setiap perbahasan perwakilan juga dilihat menumpukan soal isu-isu semasa, isu kos sara hidup rakyat, isu membabitkan kerajaan Perpaduan ketika ini, hala tuju Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang dan ada juga mengkritik kepimpinan parti berkenaan.
Paling mencuri tumpuan dalam muktamar berkenaan adalah tindakan perwakilan Pas Perlis, Mohd. Saifizi Saidon menyelar kepimpinan parti itu yang didakwa gagal memantau kualiti pemimpin dan menteri besar di negeri yang diterajui Pas.
Apa didakwanya, ada negeri yang menteri besarnya tidak menghadiri mesyuarat badan perhubungan Pas negeri yang sepatutnya menjadi panduan kepada kerajaan.
Walaupun tidak menyebut nama, Saifizi dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu karaoke.
Perwakilan Pas Perlis itu juga tidak melepaskan peluang enam minit ketika membahaskan ucapan dasar presiden parti itu untuk menyelar menteri besar negerinya, Mohd. Shukri Ramli berhubung isu salah guna kuasa yang didakwanya tiada laporan atau perbincangan tentang isu tersebut di peringkat Pas Pusat dan negeri.
Dipercayai merujuk tentang teguran Mohd. Saifizi, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ucapan penangguhannya pada Ahad lalu mengingatkan ahli dan pimpinan parti berkenaan jangan menjadi pembangkang dalam kerajaan sendiri.
Abdul Hadi dalam nada tegas menyatakan Pas ialah sebuah parti Islam, bukan parti pasar malam boleh menukar pemimpin seperti menukar barangan yang murah.
“Jagalah adab menasihati dan adab ikhtilaf (berbeza pendapat) dalam jemaah. Bukan semua masalah boleh disebutkan dalam muktamar, ada yang perlu disebut dalam usrah bukan muktamar, ada yang perlu dilaporkan bukan pula diusrahkan,” tegas Abdul Hadi.
Persoalannya, adakah menjadi kesalahan mengkritik kepimpinan Pas dalam muktamar? Jika dilihat, kritikan Mohd. Saifizi bukan keterlaluan dan tidak nampak ‘kurang ajar’ pun kepada parti tersebut. Ia dibuat secara sopan dan bersopan tidak semestinya bermaksud kritikan itu tidak dirasai.
Adakah perwakilan Pas hanya dibenarkan membuat pujian melambung kepada pemimpin parti itu ketika berbahas?
Bukankah Islam mewajibkan pemimpin dilantik memimpin umat Islam agar mendengar dan berlapang dada menerima kritikan seperti diperintahkan untuk akur dengan kritikan berkenaan sekiranya bertepatan dengan hukum Islam?
Mengkritik orang lain seperti kepimpinan kerajaan Pusat pada ketika ini khususnya Perdana Menteri tidak pula menjadi halangan ketika muktamar berkenaan. Pepatah ada menyebut, siapa makan cili dia terasa pedasnya. Apabila bercakap soal kepemimpinan adalah penerimaan dan penghargaan diri terhadap kritikan, sama ada dikritik atau memberi kritik dan yang pasti sebagai pemimpin, mereka harus sedia dikritik.
Konsep kritikan tidak asing bagi pemimpin, sama ada dalam parti politik, syarikat swasta, kerajaan, persatuan belia hatta seorang ketua kelas pun harus ‘menghargai’ kritikan kerana mereka sentiasa dilihat dan dinilai sepanjang masa. – UTUSAN










