Pembahagian kerusi enam negeri BN-PH hampir selesai

Pembahagian kerusi enam negeri BN-PH hampir selesai – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID Hamidi (kiri) diiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Melaka di Villa D'Acqua, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selaku sekutu dalam kerajaan perpaduan tidak berdepan krisis pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka berlangsung seawal-awalnya Jun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepemimpinan kedua-dua gabungan di negeri terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor hampir memuktamadkan pembahagian bagi mengelak berlakunya pertembungan.

Tegasnya, kemenangan dalam PRN berkenaan penting buat parti-parti yang mendukung kerajaan Persekutuan sebagai manifestasi pengiktirafan kepada kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setakat ini persiapan kami adalah untuk menentukan kerusi-kerusi yang akan diagihkan dan di peringkat negeri-negeri, insya-Allah ianya telah hampir selesai perundingan di antara BN dan PH.

“Dan selepas ianya diselesaikan, semua keputusan negeri-negeri akan dibawa ke parti masing-masing sebelum diadakan perundingan di peringkat nasional untuk kita memuktamadkan pembahagian terutamanya pembahagian kerusi-kerusi.

“Saya yakin di peringkat negeri kebanyakannya telah ada kesefahaman yang baik di antara pemimpin-pemimpin, parti-parti dalam BN dan juga PH. Mana-mana kerusi yang akan diselesaikan di antara parti-parti BN, ianya akan diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu. Begitu juga saya yakin parti-parti dalam PH,” katanya dalam sidang akhbar ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Melaka di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini, malam tadi.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, pembahagian kerusi BN dan PH bagi menghadapi PRN di enam negeri akan ditentukan selepas DUN dibubarkan.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya lebih memberi fokus terhadap gerak kerja dan strategi untuk memenangi kerusi di negeri-negeri terlibat.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, Perdana Menteri selaku Pengerusi kepada gabungan parti politik kerajaan perpaduan akan mengadakan mesyuarat penyelarasan berkaitan PRN, pada malam Ahad ini.

“Yang amat berhormat Datuk Seri Anwar akan mengadakan mesyuarat untuk melakukan penyelarasan kepada bukan sahaja aktiviti parti-parti dalam kerajaan perpaduan, tetapi yang lebih penting adalah bagi beliau mendengar persiapan untuk pilihan raya di enam buah negeri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya