PRU15: Fadhlina cabar Mansor debat isu banjir - Utusan Malaysia

PRU15: Fadhlina cabar Mansor debat isu banjir

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Nibong Tebal daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek mencabar calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Mansor Othman (Bersatu) untuk berdebat mengenai isu banjir di kawasan tersebut esok.

Menurut Fadhlina, debat dengan Mansor yang juga bekas Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air itu bagi mencari punca dan penyelesaian berhubung masalah banjir yang telah membelenggu penduduk Nibong Tebal sejak lebih 10 tahun lalu.

Tambah Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR, beliau juga mahu mendapatkan jawapan daripada Mansor mengenai persediaan bekas Ahli Parlimen kawasan itu dalam menghadapi kemungkinan berlakunya bencana banjir kelak.

“Saya menjemput beliau pada hari Selasa (esok), pukul 10 pagi di tempat dan masa yang akan ditentukan kemudian untuk kita sama-sama berdebat berkenaan polisi banjir dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani isu ini (banjir) khususnya di Nibong Tebal,” katanya dalam kenyataan menerusi rakaman video hari ini.

Dalam pada itu. Fadhlina turut menarik perhatian berhubung laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) sebelum ini berkenaan kemungkinan beberapa kawasan di seluruh negara akan dilanda banjir kilat pada bila-bila masa.

“Untuk itu saya menyeru pihak berkuasa meningkatkan kesiapsiagaan bagi memastikan nyawa rakyat dibela dan dipelihara dalam tempoh yang sukar ini,” katanya.

Sementara itu, Utusan Malaysia turut cuba untuk mendapatkan reaksi daripada Mansor berhubung tawaran debat daripada Fadhlina tersebut, namun sehingga kini tidak mendapat maklum balas.

Fadhlina dan Mansor akan bersaing merebut kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU15 dalam persaingan empat penjuru dengan dua lagi calon iaitu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri RS Thanenthiran dan Goh Kheng Huat (Bebas).

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket (PH-PKR) dengan undi sebanyak 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) yang mendapat 19,578 undi manakala Mohd. Helmi Harun (Pas) dan Tan Tee Beng (Bebas) masing-masing mendapat 6,875 undi dan sekadar mendapat 331 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.