Kanak-kanak Autisme catat rekod kenal pasti 198 bendera dunia - Utusan Malaysia

Kanak-kanak Autisme catat rekod kenal pasti 198 bendera dunia

K. RASHWIN melakukan demonstrasi mengenal pasti bendera negara ketika majlis penyampaian sijil "Malaysia Book of Record" kepadanya yang mencatat rekod mengenal pasti 198 bendera negara seluruh dunia dengan catatan 9 minit 54 saat di Headstart Akademi SACC Mall Shah Alam, Selangor pada hari ini. UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak Autisme berjaya mencatatkan rekod Malaysia apabila berjaya mengenal pasti 198 bendera negara di seluruh dunia dalam tempoh sembilan minit 54 saat. 

 

Kanak-kanak itu, K. Rashwin, 4, berjaya melakukan rekod itu beberapa minggu lalu melalui aplikasi sosial, Zoom sambil disaksikan panel daripada Malaysia Book Of Records. 

 

Konsultan Malaysia Book Of Records, Edwin Yeoh berkata, kejayaan Rashwin itu berjaya mengatasi rekod yang dibuat seorang kanak-kanak normal berumur lima tahun yang berjaya meneka 147 bendera negara dalam masa 15 minit. 

 

“Ini adalah satu pencapaian memberangsangkan untuk Rashwin memandangkan dia adalah kanak-kanak Autisme. 

 

“Kami amat berbesar hati kerana menyaksikan rekod yang dibuat ya, sekaligus dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” katanya pada majlis penyampaian sijil Malaysia Book Of Records kepada keluarga Rashwin di Akademi Headstart, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini. 

 

Bercerita mengenai perjalanan untuk mencatatkan rekod itu, ibu Rashwin, B. Krishnarani, 36, berkata, anak bongsunya mula meminati untuk mengenal bendera-bendera negara dunia setelah membaca buku milik abang sulungnya ketika dia berusia dua tahun setengah. 

 

Bermula dari situ, Krishnarani dan suaminya, S. Kalithas, 40, membeli beberapa buah buku serta glob peta bagi memupuk minat Rashwin. 

 

“Pada mulanya, timbul kebimbangan apabila Rashwin tidak mahu berlatih sehari sebelum hari mencatatkan rekod berlangsung. 

 

Namun, pada hari kejadian, Rashwin memberikan kejutan besar kepada kami kerana berjaya meneka sebanyak mungkin bendera dalam tempoh 9 minit dan 54 saat. Kami sangat berbangga dengan rekod yang dicatatkan,” kata suri rumah itu. 

 

Menurutnya, dia mempunyai rancangan untuk Rashwin untuk mencatatkan rekod baharu, namun, ini semua bergantung kepada kemahuan anaknya. 

 

Apapun, jelas Krishnarani, dia berharap rekod ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat supaya bersikap prihatin terhadap mereka yang mempunyai Autisme. 

 

“Mereka yang mempunyai Autisme ini amat memerlukan perhatian daripada masyarakat supaya mereka difahami dari segi tindakan mereka. Saya berharap fasiliti untuk golongan ini dapat ditambah demi kebaikan mereka,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya