KOTA KINABALU: Spekulasi berlaku pertukaran kerajaan negeri di Sabah hanya khabar angin yang tidak berasas.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tiada apa-apa yang berlaku dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini seperti dilaporkan sejak semalam.
“Selaku Ketua UMNO Sabah, saya tenang sahaja kerana tiada apa-apa yang berlaku. UMNO Sabah masih steady bersama GRS.
“Saya tidak pernah cakap (UMNO) akan menarik sokongan daripada GRS kerana kita masih kekal dengan pendirian untuk terus bekerjasama dengan GRS dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Spekulasi pertukaran kerajaan itu timbul susulan ketegangan antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Kemudian diikuti dengan kenyataan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang menyatakan keterbukaan PBS untuk bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Bung Moktar berkata, kenyataan PBS itu tidak salah kerana mereka menyatakan boleh bekerjasama dengan Warisan bukan ‘akan’ bekerjasama.
“PBS boleh bekerjasama dengan siapa-siapa demi pembangunan negeri Sabah. Bukannya mereka akan bekerjasama untuk PRU. Namun, dalam politik sentiasa ada sahaja pusingannya.
“Bagi UMNO, untuk berdepan PRU akan datang, kita akan tetap bekerjasama dengan GRS di Sabah,” katanya.
Semalam, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan kembali dan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.
Katanya, tiada apa yang perlu dinafikan kerana perkara itu tidak benar dan ia hanya satu dakwaan liar.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, GRS membentuk kerajaan dengan 46 kerusi termasuk lima kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik dan sokongan dua ADUN Bebas.
Warisan bersama Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memiliki 32 kerusi. – UTUSAN










