KUALA LUMPUR: Status pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang masih tergantung walaupun permohonannya sudah dihantar tiga bulan lalu menimbulkan keraguan kerana hingga kini belum ada tanda-tanda parti itu diluluskan.
Bendahari Penaja Pejuang, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, beliau belum menerima sebarang kenyataan bertulis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pendaftaran parti itu.
“Sabar. Pejuang belum lagi diluluskan. Saya belum dapat surat daripada ROS menyatakan Pejuang diluluskan,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Ditanya sama ada kelewatan pendaftaran Pejuang itu bermotifkan politik, katanya, beliau tiada jawapan jelas berhubung perkara itu.
Pada 19 Ogos lalu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik (kini wakil Bebas) dan bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya, mengemukakan permohonan bertulis dan secara atas talian berhubung pendaftaran parti itu.
Tiga hari selepas itu, sesalinan surat diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk bertanyakan status permohonan pendaftaran Pejuang namun hingga kini, belum ada tanda Pejuang akan diluluskan.
Selain itu, pindaan perlembagaan Pejuang telah diserahkan semula kepada ROS pada 2 Oktober lalu bagi tujuan lanjut proses pendaftaran susulan cadangan beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti tersebut oleh ROS. – UTUSAN










