HULU TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Hulu Terengganu sedang mengesan ibu kandung dan waris kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun satu bulan bagi mendapatkan maklum balas sebelum proses pengangkatan kanak-kanak itu dimuktamadkan melalui mahkamah.
Kanak-kanak berkenaan kini berada di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) selepas mendapat perintah Mahkamah Majistret Hulu Terengganu mengikut Seksyen 30(1)(c) dan Subseksyen 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 29 Januari 2024.
Kanak-kanak itu sebelum ini ditemukan orang awam di luar pagar sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, kira-kira pukul 4.50 petang pada 5 Oktober 2023.
Ketika ditemukan, bayi berkenaan berada di dalam kotak beralaskan tuala bersama tali pusat yang sudah dipotong.
Turut ditemukan sebuah kotak lain berisi satu set pakaian bayi, sekotak tisu basah, sebotol minyak angin, dua lampin pakai buang serta sekeping nota dipercayai ditulis oleh ibu kandungnya.
Orang awam yang menemukan bayi itu kemudian membawanya ke Balai Polis Kuala Berang untuk membuat laporan sebelum bayi berkenaan dirujuk ke Hospital Hulu Terengganu dan seterusnya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
Pada peringkat awal, kanak-kanak itu ditempatkan di bawah jagaan institusi JKM selama setahun dua hari sebelum perintah mahkamah dikeluarkan bagi membolehkan penjagaannya diserahkan kepada OYLS demi memastikan kebajikan dan kesejahteraannya terpelihara.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali ibu kandung dan waris kanak-kanak berkenaan diminta menghubungi Pelindung JKM daerah Hulu Terengganu, Rusmiza, menerusi talian 09-6811315. – UTUSAN











