PETALING JAYA: Seramai 1,609 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri, setakat pukul 8 pagi hari ini.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, sebanyak 18 PPS dibuka bagi menempatkan 504 keluarga di Sarawak, Sabah, Pahang dan Johor.
Sarawak mencatat jumlah tertinggi dengan 1,237 mangsa berada di 13 PPS di Kuching (1,053), Limbang (140) dan Samarahan (26), diikuti Beaufort, Sabah (195), Raub, Pahang (83) dan Segamat, Johor (112).
Daripada jumlah itu, mangsa dewasa yang terbabit adalah seramai 1,070 orang, kanak-kanak (503) dan bayi (36).
Sementara itu, menurut Laman Web Public Info Banjir, terdapat tiga sungai di Sarawak melebihi tahap bahaya iaitu Long Teru dan Marudi, Miri; dan Nanga Lemai B, Sibu setakat 8 pagi.
Beberapa sungai di negeri itu juga berada pada tahap amaran dan waspada antaranya Nanga Insungai dan Lubok Piasau II di Limbang, Benawa, Miri; Sungai Salim B, Sibu; dan Sungai Sibiu, Bintulu. – UTUSAN










