“KERJA sosial merupakan satu bidang tugas yang murni bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh individu, kumpulan atau komuniti agar mereka dapat kembali berfungsi dan meneruskan kehidupan secara berdikari.
Namun begitu, kerja sosial tidak boleh disamakan dengan tugas sukarelawan semata-mata seperti tanggapan kebanyakan orang.
Kerja sosial ialah satu profesion yang memerlukan kompetensi, pengetahuan, kemahiran dan latihan secara formal.
Ia melibatkan proses-proses yang perlu dilaksanakan secara teratur, bermula daripada penglibatan…, dengan individu ataupun kumpulan yang hendak dibantu, penilaian, perancangan, intervensi, pelaksanaan intervensi, penilaian semula keadaan individu atau kumpulan sehinggalah penamatan perkhidmatan yang diberikan.” – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam Bacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 (DR14/2026).
Jabatan Kebajikan Masyarakat (2017) mendefinisikan kerja sosial sebagai ‘aktiviti profesional berlandaskan prinsip, nilai dan etika, pengetahuan dan kemahiran bagi membantu individu, keluarga, kumpulan dan komuniti meningkatkan atau mengembalikan kapasiti kefungsian sosial mereka’.
Secara ringkasnya, kerja sosial boleh difahami sebagai jambatan sokongan yang merangkumi penilaian kes, kaunseling, pautan sumber, dan sokongan psikososial untuk memastikan setiap individu mampu berfungsi secara berkesan dalam masyarakat.

Secara profesional, kerja sosial ialah suatu profesion berasaskan amalan dan disiplin akademik yang menggunakan teori tingkah laku manusia, sistem sosial, dan metodologi khusus untuk intervensi sosial.
Ia merangkumi pengendalian kes-kes berisiko tinggi dan kompleks termasuklah perlindungan kanak-kanak terabai, mangsa penderaan, sokongan psikososial kepada orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, pemulihan komuniti, sehinggalah sokongan kesihatan mental.
Meskipun hakikatnya di Malaysia kerja-kerja sosial sudah diwujudkan sejak 1946 melalui penubuhan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun profesion ini tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya tanpa suatu badan yang mengawal selia tadbir urus kerja-kerja sosial.
Bahkan, sejak awal 2000-an lagi, pelbagai institusi pengajian tinggi di dalam negara sudah mengetengahkan silibus pendidikan kerja sosial termasuklah mengusulkan piawaian kerja-kerja sosial bagi pengamal kerja sosial, pelatih kerja sosial dan perkhidmatan kerja sosial.
Pada tahun 2000, kerajaan telah menubuhkan Majlis Perundingan Bersama mengenai Pendidikan Kerja Sosial (JCCSWE) dengan matlamat membentuk Draf Polisi dan Piawai Kebangsaan Untuk Pendidikan Kerja Sosial (JCCSWE 2000).
Terma rujukan JCCSWE adalah untuk mengenal pasti bilangan program kerja sosial yang ditawarkan oleh universiti di Malaysia dan membantu pihak universiti menyelaraskan kurikulum kerja sosial.
Pada 23 April 2010, Memorandum Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan JKM untuk menggubal Akta Kerja Sosial bagi meningkatkan penyampaian intervensi kerja sosial dalam menangani masalah sosial yang semakin kompleks dan mencabar.
Sejarah panjang ini akhirnya membuahkan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 (DR14/2026) yang baru sahaja diluluskan di Dewan Rakyat selepas bacaan kali pertama pada 13 Julai dan bacaan kali kedua pada 14 Julai yang lalu. Yang berbaki hanyalah prosedur bacaan dan perbahasan di Dewan Negara dan kelulusan Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan Dewan Rakyat meluluskan DR14/2026 menjadi titik tolak yang dinanti-nantikan selama lebih 80 tahun sejak tertubuhnya JKM.
Langkah ini bukan sekadar meluluskan sehelai dokumen perundangan di Parlimen, tetapi merupakan manifestasi pengiktirafan negara terhadap pengamal kerja sosial yang selama ini berada di barisan hadapan dalam mengendalikan pelbagai krisis sosial dan kemanusiaan.
Mengikut peruntukan DR14/2026 yang akan mewujudkan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia, kuasa kawal selia ditetapkan dengan jelas termasuklah dalam menguruskan pendaftaran wajib pengamal kerja sosial, terutamanya di sektor swasta, organisasi berasaskan komuniti (community-based organisations, CBO), dan badan bukan kerajaan (NGO). Langkah ini adalah bagi memastikan mereka yang berkhidmat memenuhi kualiti dan piawaian yang ditetapkan.
Kedua, majlis tersebut juga memainkan peranan penting dalam merangka peraturan, garis panduan, serta penetapan kelayakan dan kompetensi yang jelas.
Peranan ini bertujuan melengkapi setiap individu yang membawa gelaran ‘pekerja sosial’ dengan latihan akademik serta latihan amalan yang sah.
Kelayakan inilah yang akan membezakan antara seorang pekerja sosial yang diiktiraf dengan seorang sukarelawan meskipun kedua-dua mereka menabur bakti dalam memperkasa kehidupan sosial masyarakat.
Ketiga, majlis tersebut mempunyai kuasa untuk menggariskan panduan khusus bagi menjaga keselamatan, etika dan kebajikan pekerja sosial ketika mengendalikan kes-kes berisiko.
Dalam masa yang sama, terma rujukan majlis tersebut juga memberikan mandat ke atasnya untuk mewujudkan suatu jawatankuasa aduan bagi memastikan kerja-kerja sosial dapat diselia secara telus dan adil bagi semua pihak yang terlibat.
Meskipun pengawalseliaan pada peringkat awal diwajibkan kepada sektor swasta dan NGO, komitmen kerajaan untuk membina kerangka perundangan menyeluruh ke arah penyelarasan sektor awam amat dialu-alukan.
Memandangkan pegawai awam turut mengendalikan kes-kes kritikal, keseragaman prosedur antara sektor awam dan swasta pada masa hadapan akan memantapkan lagi ekosistem perkhidmatan sosial negara.
Kelulusan RUU ini mematangkan lagi bidang perkhidmatan sosial di Malaysia. Kini, wira-wira yang bekerja di balik tabir demi kesejahteraan masyarakat tidak lagi bergerak tanpa perlindungan dan pengiktirafan perundangan yang sewajarnya.
Pengiktirafan ini penting bagi memastikan disiplin ini dipandang sebagai kerjaya profesional bertaraf tinggi, setara dengan bidang perubatan atau perundangan. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.










