KUANTAN: Sebagai tawaran akhir kepada ahli Parlimen UMNO supaya tidak menarik kerjasama daripada gabungan politik Perikatan Nasional (PN), Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin melakukan rombakan Kabinet.
Difahamkan, pengumuman berhubung rombakan Kabinet baharu itu akan dibuat esok.
Mingguan Malaysia difahamkan, isu berhubung agihan kerusi dan jawatan dalam Kabinet yang tidak memihak kepada UMNO, menjadi duri dalam kerajaan PN ketika ini.
Atas faktor itu, UMNO baru-baru ini menerusi kenyataan Biro Politiknya mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik PN yang diterajui Muhyiddin.
Menurut sumber itu kepada Mingguan Malaysia, rombakan Kabinet baharu itu mungkin melantik Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO.
Selain itu, kata sumber berkenaan, jawatan Timbalan Perdana Menteri dijangka turut dilantik dalam kalangan ahli Parlimen daripada Pas.
“Maknanya akan ada dua individu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri,” kata sumber itu.
Menurut sumber, rombakan Kabinet baharu PN dijangka menyaksikan lebih ramai ahli Parlimen UMNO dilantik dan diberikan jawatan menteri.
Jelas sumber itu lagi, akan ada juga beberapa pimpinan UMNO yang bakal dilantik senator dan diberikan jawatan dalam Kabinet baharu tersebut.
“Itu UMNO mahu dan Muhyiddin perlu ikut sebagai tawaran akhir bagi memastikan UMNO tidak menarik kerjasama politik dengan PN,” katanya.
Jika dilihat kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, beliau mengakui isu agihan kerusi dan jawatan dalam Kabinet yang tidak memihak kepada UMNO sebagai punca masalah dalaman dalam kerajaan PN.
Tajuddin berkata, UMNO tidak berpuas hati kerana diberi kedudukan menteri yang tidak seimbang, walaupun mempunyai jumlah kerusi Parlimen paling banyak dalam gabungan politik tersebut.
“Rungutan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin UMNO juga timbul kerana apabila kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri pun tidak diberikan kepada parti itu,” kata Tajuddin. – UTUSAN










