KOTA KINABALU: Seandainya berulang ‘lompat katak’ ketika satu dua parti tidak cukup majoriti atau sekadar meraih majoriti mudah pada malam keputusan pilihan raya 26 September ini, calon menang terbabit pasti akan diludah oleh rakyat.
Menarik perhatian itu kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini kerana si pelakunya bukanlah seorang wakil rakyat sebaliknya adalah orang yang langsung tidak boleh dipercayai.
“Lompat parti merupakan satu musibah kepada negeri Sabah. Kita malu sebab di seluruh dunia tidak berlaku sedemikian tetapi di Malaysia terutama Sabah sudah jadi darah daging.
“Kali ini saya pilih calon-calon yang terbaik, yang ada keyakinan dan kesetiaan. Saya pastikan apa juga berlaku kita tidak akan lari ke mana-mana. Cukuplah, kita hentikanlah lompat parti sebab tidak ada kebaikan, bahkan membawa keburukan.
“Memecahkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan negeri Sabah akan mundur dan terus mundur. Rakyat sudah bosan dan tidak percaya dengan orang politik.
“Sebab kalau mereka melompat lagi bermakna mereka bukanlah seorang wakil rakyat, sebaliknya adalah orang yang langsung tidak boleh dipercayai. Pasti akan diludah oleh rakyat,” kata beliau ditemui di kediamannya di sini malam kelmarin.
Ditanya adakah beliau akan ‘mengurung’ calon-calon BN yang menang Sabtu depan, kata Bung Moktar:
“Saya tidak boleh jangkakan sebarang kemungkinan tetapi insya-Allah kita tidak akan mengurung calon-calon. Saya percaya sebelum mereka bertanding, saya telah duduk dengan mereka bahawa kita perlu ada integriti. Perlu ada semangat kekitaan. dan semangat malu itu sendiri.
“Cukup-cukuplah ahli politik telah dimalukan oleh rakyat. Saya tidak sanggup lagi melihat ada wakil rakyat yang melompat.”
Pada 11 Mei 2018, Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri, Kota Kinabalu berserta 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang turut berbuat demikian sebagai Menteri Kabinet Sabah.
Bagaimanapun keesokannya, Parti Warisan Sabah (Warisan) diketuai presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersama PKR dan DAP pula menubuhkan kerajaan selepas Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar BN dan membawa lima ADUN untuk menyertai pakatan terbabit. – UTUSAN










