BUKAN setakat di Kota Kinabalu sahaja terpampang wajah Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berserta tulisan unity (perpaduan).
Tetapi merata seluruh pelosok Negeri Di Bawah Bayu ini.
Tampak ceria poster menggunakan warna-warna daripada bendera Sabah itu.
Ada mengandaikan seolah-olah Mohd. Shafie menyamakan dirinya dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Apabila Obama pakai grafik ‘color-color’ dalam kempen pilihan raya presiden pada 2008, beliau juga pakai grafik color. Bila mana Obama tulis “Hope”, ada billboard dipasang Warisan dengan grafik perkataan unity.
Memang sekilas pandang, “Unity” Warisan mirip “Hope” Obama, tetapi adakah konteks maksud yang mahu disampaikan sama?
Ini kerana dalam ungkapan yang dilaungkan Mohd. Shafie dalam kempen pilihan raya negeri ke-16 waktu ini ada berbaur sentimen anti-Semenanjung.
Walaupun Presiden Warisan itu memperjelaskan “saya sayang orang Semenanjung, saya sayang isteri saya, orang Kedah, bukan saya tak sayang” tetapi apabila terlalu lantang menyuarakan ‘ini hak rakyat Sabah, hak Sabah’, kita khuatir ia akan mengelirukan sebahagian besar rakyat Sabah. Lebih-lebih lagi buat orang muda untuk memahami pengertian mendalam Hari Malaysia 16 September.
Ya, kita faham semua parti mahu menang, siapa tak mahu mengecap keriangan Sabtu depan 26 September nanti? Cuma kita bimbang jika ‘hak rakyat Sabah’ itu terlampau provokatif dan ‘dipergunakan’ oleh kumpulan ‘politikus’ dalam kempen pilihan raya ini, akibatnya buruk – mencetuskan sesuatu yang kurang sihat.
Dan seolah-olah rakyat di Semenanjung telah menganiaya Sabah.
Tambah perit lagi apabila politikus-politikus kita tidak ada rasa bersalah memainkan sentimen subversif sebegitu tatkala negara terutama Sabah ada ketika diancam kedaulatannya.
Ya, yang tampak ketara, tiga isu besar iaitu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pertikaian Laut China Selatan dan tuntutan “Sabah wilayah Filipina” oleh Manila tidak pula kedengaran ketika berkempen.
Sekiranya benar mereka pejuang rakyat Sabah, maka tiga isu inilah yang dilaungkan ketika PRN ini.
Bak kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di Beaufort semalam:
“Bezanya Abah (gelaran untuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin) dengan ketua menteri Sabah (Mohd. Shafie), kalau kita tengok billboard-billboard di sana sini sekarang ini (di Sabah), dia (Mohd. Shafie) seolah-olah samakan dirinya dengan Obama.
“Tetapi Obama cakap unity dalam konteks yang lain…perpaduan, kerjasama antara warna dan bukan warna dan wilayah.
“Tetapi unity disebut ketua menteri Mohd. Shafie untuk merenggangkan kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya. – UTUSAN










