Krisis bahagian: Bersatu Johor masih bermimpi - Utusan Malaysia

Krisis bahagian: Bersatu Johor masih bermimpi

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor dilihat masih bermimpi untuk bertanding di kerusi UMNO dalam pilihan raya umum akan datang meskipun mereka dilanda krisis kepimpinan di peringkat bahagian.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, krisis terbaharu melibatkan pembubaran jawatankuasa bahagian dan cawangan Bersatu Semberong dan Batu Pahat hampir menepati ramalannya sebelum ini bahawa Bersatu bakal terkubur sama seperti dialami parti Semangat S46.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin Bersatu untuk menyimpan ‘angan-angan’ untuk bertanding di kerusi UMNO khususnya di dalam kalangan wakil rakyat yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kemudian melompat ke parti itu.

“Pemilihan Bersatu sebenarnya akan berlangsung pada bulan depan iaitu September tetapi sekarang masih tak selesai-selesai lagi pemilihan di peringkat bahagian. Nampak sangat Bersatu peringkat bahagian sangat lesu.

“Kepimpinan Bersatu Johor pun tak boleh kawal, apatah lagi untuk mengawal keadaan di bahagian. Lepas itu ada hati nak kerusi banyak dan suruh orang UMNO sokong mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu semalam memutuskan untuk membubarkan jawatankuasa bahagian dan cawangan iaitu Semberong dan Batu Pahat dengan tidak wujud sebarang jawatan termasuk Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan.

Ekoran keputusan berkenaan, Presiden Bersatu akan melantik seorang Ketua Bahagian Penaja yang baharu bagi kedua-dua bahagian Bersatu ini setelah Persidangan Agung Tahunan (PAT) selesai pada hujung tahun ini. 

Dalam pada itu, Nur Jazlan berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Setiausaha Agung Bersatu dapat memastikan bahawa persidangan dan pemilihan parti Bersatu dijalankan mengikut peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi mengelakkan parti itu diharamkan.

“Ini juga supaya Bersatu tidak melalui pengalaman getir UMNO pada tahun 2018 yang pernah diancam untuk diharamkan walaupun patuh kepada peraturan dan prosedur ROS,” katanya.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata, Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas merupakan satu kerjasama politik kukuh kerana hubungan kedua-dua parti terjalin menerusi kesefahaman yang erat dan sekali gus menjamin kerajaan stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya lagi, malah kerjasama antara UMNO dan Pas berpaksikan kepada Piagam MN yang dimeterai secara rasmi antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“MN terbentuk melalui kefahaman yang ampuh antara kedua-dua parti, malah masing-masing ada track record sama ada daripada kekuatan jentera di akar bumi. Berbanding Bersatu, mereka hanya parti baharu yang ditubuhkan matlamat tertentu dan hanya menumpang sahaja.

“Oleh demikian, adalah lebih kerjasama MN terus diperkukuhkan khususnya menjelang PRU-15 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.