AZLIZAN Fadzil dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah RM37.4 juta di Shah Alam, hari ini.
SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah RM37.4 juta pada sembilan tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Azlizan Fadzil, 53, mengaku tidak bersalah selepas mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Berdasarkan pertuduhan, Azlizan didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan secara tidak jujur menyalahgunakan harta RM37.4 juta yang diperuntukkan oleh syarikat berkenaan.
Peruntukan tersebut bertujuan bagi pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic dengan saiz 50 megawatt (MW) berskala besar di Gambang, Kuantan.
Bagaimanapun, beliau dikatakan secara tidak jujur menyalahgunakan harta tersebut dengan membuat pembayaran-pembayaran lain selain daripada tujuan berkenaan dekat sebuah cawangan bank di dalam kampus UiTM, di sini antara 2 Februari 2017 hingga 2 Oktober tahun sama.
Justeru, Azlizan dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan juga boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Law Chin How kemudian mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu melapor ke pejabat SPRM terdekat, sekali dalam tempoh tiga bulan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Hasshahari Johari Mawi memohon jumlah jaminan yang lebih rendah iaitu RM20,000 dengan mengambil kira kekangan kewangan serta keadaan kesihatan yang dihadapi anak guamnya.
“Anak guam saya mengalami beberapa masalah kesihatan yang memberi kesan terhadap fungsi badan serta otaknya. Selepas berhenti kerja, Azlizan juga tidak mempunyai pendapatan.
“Seluruh ahli keluarganya kini bergantung harap kepada isterinya. Mereka mempunyai tujuh orang anak yang berumur lingkungan 14 hingga 21 tahun yang masih belajar,” katanya.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin selain membenarkan syarat tambahan yang dicadangkan oleh pendakwaan serta larangan mengganggu saksi-saksi pendakwaan sepanjang kes berjalan.
Mahkamah menetapkan 3 November ini sebagai hari sebutan semula kes. – UTUSAN











