Datin, pengurus taska bahayakan anak asuhan dihadapkan ke mahkamah

Datin, pengurus taska bahayakan anak asuhan dihadapkan ke mahkamah

Taska
NURRUL Farhana Ramlee (tunduk, depan) dan Nor Fadilah Alias (tunduk) selepas prosiding pertuduhan menjalankan operasi taska tanpa lesen dan membahayakan anak asuhan di Mahkamah Majistret, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang wanita bergelar Datin dan pengurus rangkaian sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menjalankan operasi tanpa lesen selain membahayakan anak asuhan.

Bagaimanapun, tertuduh, Datin Nor Fadilah Alias, 36, dan Nurrul Farhana Ramlee, 33, mengaku tidak bersalah selepas mendengar pertuduhan dibacakan ke atas mereka di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan Nurul Farhana didakwa dengan cuai membahayakan nyawa seorang kanak-kanak lelaki yang terkurung di dalam sebuah bilik di sebuah taska di Seksyen 3 di sini, kira-kira pukul 4.32 petang, 6 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dengan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali.

Nurul Farhana dan Fadilah masing-masing juga didakwa menjalankan taska tanpa pendaftaran sah di Kota Kemuning kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 19 Januari lalu.

Mereka juga didakwa satu lagi pertuduhan bersama sebagai individu bertanggungjawab kerana mengendalikan taska tanpa perakuan pendaftaran sah daripada Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat di sebuah taska di Seksyen 3 di sini, kira-kira pukul 3.54 petang pada 21 Januari lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 6 dan 6 (1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Muaz Khawarizmi Azfar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 untuk setiap pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh.

Peguam Anwar Ezzad Zainal bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan RM2,000 kepada dua anak guamnya bagi setiap pertuduhan ekoran jaminan dicadangkan pendakwaan terlalu tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan kepada kedua-dua tertuduh bersama seorang penjamin dan menetapkan ebutan semula kes pada 25 Mei depan.

Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan pengurusan Al Kauthar Eduqids (AKE) menyegerakan siasatan dalamannya susulan tular kejadian seorang kanak-kanak dipercayai menghidapi autism dikurung tanpa pakaian di dalam sebuah bilik gelap.

Ibu pejabat AKE dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil maklum insiden yang berlaku di salah satu cawangan pusat pendidikan awal itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular potongan video memaparkan seorang kanak-kanak didakwa menghidapi autism dikatakan dikurung dalam keadaan berbogel dalam sebuah bilik gelap dipercayai stor dekat salah satu cawangan AKE, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN