Permohonan DNAA Ahmad Zahid selaras dengan peruntukkan undang-undang

Permohonan DNAA Ahmad Zahid selaras dengan peruntukkan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa keputusan untuk memohon Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atas 47 pertuduhan dua membabitkan dana Yayasan Akalbudi dua tahun lalu dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang dan berdasarkan keadaan semasa pada ketika itu.

Tambah kenyataan yang diterbitkan hari ini, memandangkan perkara itu berada di bawah pertimbangan mahkamah, AGC tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung merit permohonan tersebut. 

“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan untuk memohon DNAA dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang dan berdasarkan keadaan semasa pada ketika itu, termasuklah keperluan untuk menjalankan siasatan lanjut. 

“AGC akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses pengadilan, menangani perkara ini melalui saluran undang-undang yang ditetapkan, serta mematuhi sebarang arahan atau keputusan mahkamah,” kata kenyataan itu.

AGC mengeluarkan kenyataan tersebut dengan merujuk kepada laporan portal mengenai seorang peguam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 4 September 2023, yang melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid.

Peguam Datuk Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim memfailkan permohonan itu hari ini antara lain bagi memohon perintah mandamus mengarahkan Peguam Negara dan pendakwa raya untuk menyelesaikan siasatan dan semakan berhubung pelepasan tanpa pembebasan yang diberikan terhadap Ahmad Zahid.

Peguam terbabit juga memohon pertuduhan terhadap Ahmad Zahid diteruskan atau diberikan perintah lepas bebas penuh.

Untuk rekod pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Antara alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan Ahmad Zahid.

Alasan lain menyentuh isu yang dibangkitkan dalam representasi bahawa pendakwaan dibuat secara cuai dan terburu-buru serta beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN