KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan membincangkan keperluan penggunaan logo gabungan itu oleh Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada minggu ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan bersama itu akan dibuat setelah memuktamadkan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Pada minggu ini kita akan ada perbincangan dengan beberapa pihak, dengan parti gabungan mana, dengan parti mana kita akan bertanding.
“Kita menghormati keputusan yang akan dibuat oleh mereka. Logo dan lambang apa yang akan mereka gunakan, itu terserah kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-18 parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah BN akan memberi kebenaran susulan kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dikatakan akan menggunakan logo Pas jika krisis berlarutan.
Sebelum ini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah menggantung semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 23 September 2026, tetapi pendaftaran gabungan itu tidak dibatalkan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, perbincangan bersama Ketua Menteri Melaka itu akan dibawa ke pimpinan utama UMNO dan juga Dewan Tertinggi BN untuk dimuktamadkan bagi membentuk persefahaman mendepani PRN Melaka.
“Kita akan mendengar keputusan yang akan dibuat oleh SPR yang akan bermesyuarat pada 7 Oktober nanti untuk menentukan tarikh penamaan calon dan juga hari pengundian awal serta hari pengundian,” katanya. –UTUSAN











